Sorting by

×

DIDIK MASYARAKAT KURANGKAN BEG PLASTIK DI PASAR RAMADAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 6 Mac – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka terus komited mendidik masyarakat lebih cakna terhadap alam sekitar dengan menganjurkan Kempen ‘Jangan Gunalah Plastik Sekali Guna’ sempena Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, kempen yang diadakan di Pasar Ramadan Masjid Al-Alami MITC itu bertujuan mengurangkan penggunaan plastik, selain menggalakkan pengunjung membawa beg guna semula atau bekas makanan sendiri ketika membeli juadah berbuka puasa.

Katanya, inisiatif itu juga bertujuan mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam pengurusan sisa serta mengamalkan gaya hidup lebih lestari.

“Kita laksanakan kempen ini sepanjang Ramadan selain ia dilihat membantu mengurangkan pembaziran dan penggunaan plastik, selain membantu mengurangkan sisa pepejal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Ramadan Kareem Food Rescue dan Free Market 1447H di Pasar Ramadan Masjid Al-Alami MITC, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin; Pengarah SWCorp Negeri Melaka Nor Zaki Md Nor serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Khalid berkata, buat julung kalinya, SWCorp memperkenalkan Program Free Market yang membolehkan orang ramai mendapatkan barangan seperti pakaian terpakai secara percuma.

6147952574640884894
ORANG ramai memilih pakaian pada Projek Ramadan Kareem Food Rescue dan Free Market 1447H di Pasar Ramadan Masjid Al-Alami MITC. Foto Afiq Mustaffa

Jelasnya, program tersebut hanya dijalankan selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Mac ini dari jam 5 petang hingga 9 malam di Pasar Ramadan Masjid Al-Alami MITC sahaja.

“Program ini memberi peluang kepada masyarakat khususnya golongan memerlukan mendapatkan barangan seperti pakaian yang masih elok secara percuma sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

“Program ini turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta beberapa institusi pendidikan di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

496
Kongsi :
Previous post MELAKA BAKAL JADI DESTINASI UTAMA PAKEJ PELANCONGAN JERMAN, EROPAH
Next post CMI AGIH BUBUR LAMBUK TANDA INGATAN RAMADAN