Sorting by

×

PPR KLEBANG SIAP TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

KLEBANG 6 Mac – Program Residensi Rakyat (PRR) atau dahulu dikenali sebagai Program Perumahan Rakyat (PPR) Klebang dijangka siap sepenuhnya dan boleh mula diduduki tahun ini, selepas penilaian akhir dilakukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, selepas beberapa tahun tertangguh, projek itu akhirnya berjaya disiapkan dan kini hanya perlu melalui peringkat terakhir iaitu pengujian sistem bekalan akhir.

Menurut beliau, projek perumahan itu amat penting dalam membantu penduduk berpendapatan rendah di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang memiliki kediaman sendiri menerusi skim ‘Sewa Untuk Beli (Rent To Own)’ dengan kadar bayaran bulanan yang murah.

“Sebagai wakil rakyat kawasan saya komited membantu menyelaraskan keperluan bagi projek PPR ini bersama agensi negeri berkaitan. Pada masa sama, lawatan berkala juga akan diadakan.

“Ini kerana kita mahu memastikan tarikh akhir itu dapat mengikut jadual yang ditetapkan, di mana sepatutnya semuanya sudah selesai pada Mac tahun ini.

“Jadi kita akan terus memantau dan membantu penyelarasan bersama pelbagai agensi termasuklah Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan pihak-pihak lain bagi memastikan projek ini selesai dengan baik dan memberi manfaat besar kepada warga Klebang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Dataran Klebang, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ban Hong memaklumkan, PPR Klebang menawarkan sebanyak 255 unit rumah dan menariknya ia bakal mempunyai pemandangan sawah padi yang cantik.

Jelas beliau, senarai nama mereka yang layak untuk PPR Klebang akan dikemaskini Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan jika ada kekosongan, ia akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Kemaskini nama pemohon ini perlu memandangkan mungkin ada di antara pemohon sebelum ini sudah memiliki rumah atau mempunyai pilihan lain.

“Jadi, jika ada kekosongan, LPM akan membuka kekosongan itu kepada warga Klebang yang lain di mana mereka perlu melalui beberapa peringkat atau proses, antaranya temu ramah bagi memastikan yang benar-benar layak sahaja dapat mendiami rumah itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

437
Kongsi :
Previous post JUALAN RAHMAH BERGERAK RINGANKAN BEBAN PERBELANJAAN RAKYAT
Next post MELAKA BAKAL JADI DESTINASI UTAMA PAKEJ PELANCONGAN JERMAN, EROPAH