Sorting by

×

MELAKA BAKAL JADI DESTINASI UTAMA PAKEJ PELANCONGAN JERMAN, EROPAH

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 6 Mac – Melaka bakal menjadi antara destinasi utama pakej pelancongan Jerman dan Eropah selepas beberapa kerjasama strategik dijalin pada International Tourismus-Börse Berlin (ITB) 2026 yang sedang berlangsung di Jerman.

Pameran perdagangan pelancongan terbesar dan paling berpengaruh di dunia itu telah menghimpunkan pelbagai pemain industri dan pengendali pelancongan bertaraf dunia.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, antara kerjasama yang dijalin adalah bersama Asian Dreams Touristik iaitu syarikat pelancongan berpangkalan di Munich, Jerman.

Jelas beliau, syarikat itu dikenali sebagai pengendali pelancongan yang memfokuskan kepada pembangunan serta pemasaran pakej pelancongan ke destinasi Asia seperti Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia, khususnya bagi pasaran pelancong dari Jerman dan negara-negara Eropah.

Beliau memaklumkan, pada sesi perbincangan berkenaan, Asian Dreams telah berkongsi perancangan awal untuk menganjurkan program Familiarisation Trip (FAM Trip) ke Melaka bersama ejen pelancongan yang dijadual pada penghujung April atau awal Mei depan.

“FAM Trip ini dijangka membawa kira-kira 20 ejen pelancongan dari Jerman bagi meninjau sendiri produk pelancongan serta pengalaman unik yang ditawarkan di Melaka.

“Kerajaan Negeri melalui Tourism Melaka sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama Asian Dreams dan bersedia memberikan sokongan serta bantuan yang sewajarnya bagi menjayakan program FAM Trip ini.

“Ini sekali gus membuka peluang lebih luas untuk Melaka dipasarkan sebagai antara destinasi utama dalam pakej pelancongan Malaysia bagi pasaran Jerman dan Eropah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.

Terdahulu, Abdul Razak turut menyertai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mengadakan perbincangan bersama Asian Dreams Touristik GmbH yang diwakili Pengarah Urusannya, Sinasi Isbir.

Pertemuan itu telah membuka ruang kepada perbincangan mengenai potensi memperkukuh promosi pelancongan Malaysia khususnya Negeri Melaka dalam pasaran Eropah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

459
Kongsi :
Previous post PPR KLEBANG SIAP TAHUN INI
Next post DIDIK MASYARAKAT KURANGKAN BEG PLASTIK DI PASAR RAMADAN