
LELAKI MAUT, 4X4 DIREMPUH TRELER KETIKA BERHENTI TEPI JALAN
ALOR GAJAH 17 Mac – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4×4) dipandunya dirempuh dari belakang oleh sebuah lori treler ketika berhenti di tepi jalan di Kilometer (KM) 193.8 Lebuhraya Utara–Selatan arah selatan, awal pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 62 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu treler berusia 34 tahun cedera.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.
Katanya, kenderaan 4×4 berkenaan dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum berhenti di lorong kiri tanpa meletakkan sebarang tanda amaran.
“Treler yang datang dari arah sama kemudiannya melanggar bahagian belakang 4×4 tersebut sebelum kenderaan itu diseret kira-kira 100 meter.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbabit turut terbakar dan pemandu 4×4 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori treler berusia 34 tahun cedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala pemandu treler dihantar ke hospital sama bagi menerima rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Zaki turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.
Katanya, pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan serta menggunakan tanda amaran keselamatan sekiranya berlaku kecemasan di jalan raya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


