Sorting by

×

MELAKA TUMPU PULIHKAN KOPERASI TIDAK AKTIF

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 18 Mac – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Melaka komited mahu memulihkan 15 peratus daripada jumlah koperasi yang berdaftar di Negeri Melaka yang tidak aktif.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, antara faktor utama peningkatan koperasi tidak aktif adalah disebabkan tiada pelaksanaan aktiviti perniagaan.

Atas faktor itu, ujar beliau, antara langkah yang akan diambil adalah SKM bakal bekerjasama dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) untuk membantu koperasi ini kembali aktif.

“Selain menyasarkan penubuhan koperasi baharu, kita juga perlu memberi tumpuan kepada koperasi tidak aktif untuk membantu memulihkan koperasi ini dengan pelbagai pendekatan.

“Pada masa sama, kita juga komited membantu koperasi-koperasi baharu yang mempunyai visi dan aktiviti perniagaan yang jelas bagi penubuhan koperasi mereka,” katanya kepada pemberita selepas Program Ihya Ramadan Bersama Gerakan Koperasi Negeri Melaka Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah SKM Negeri Melaka Mustafa Kamal Mohd Nor; Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Negeri Melaka Zaidan Abd Hadi serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Allex berkata, antara rancangan penambahbaikan koperasi di Melaka sepanjang tahun ini adalah mengadakan lawatan ke koperasi yang berjaya di negeri-negeri lain bagi mendapatkan pendedahan dan ilmu berharga yang boleh dimanfaatkan.

Jelas beliau, pada tahun lalu, lawatan berimpak seumpamanya telah diadakan di Terengganu dan ia berjaya membuka mata koperasi-koperasi terlibat untuk merancang strategi dalam membantu mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

553
Kongsi :
Previous post OMSMC RAI SEMANGAT KEBERSAMAAN SEMPENA RAMADAN
Next post MAIM RINGANKAN BEBAN MANGSA RIBUT KAMPUNG PULAU SAMAK