Sorting by

×

RAKYAT GEMBIRA SIMBOL ASAHAN SEJAHTERA

Masa Membaca:4 Minit, 22 Saat

ASAHAN 4 April – Mentadbir sebuah kawasan terbesar dalam Negeri Melaka yang berkeluasan 214 kilometer persegi bukanlah sesuatu yang mudah terutamanya apabila ia terletak di antara kawasan paling hujung negeri ini dan bersempadan negeri lain.

Namun, bagi figura bernama Datuk Fairul Nizam Roslan, semua itu bukanlah satu kekurangan sebaliknya cabaran untuknya membuktikan kredibiliti sebagai seorang pemimpin yang dapat membawa limpahan nikmat kepada rakyat.

Sebaik diberi mandat sebagai wakil rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan itu nyata tidak menoleh kebelakang, sebaliknya membuktikan kemampuan diri untuk menggalas amanah dan tanggungjawab sehingga berjaya mengubah kawasan luar bandar itu menjadi sebuah lokasi yang tidak jauh ketinggalan.

Semua itu bermula menerusi slogan Asahan Sejahtera yang kini menjadi gagasan kepada kehidupan harmoni dan rasa gembira dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

Menurut Fairul Nizam Roslan, komposisi masyarakat pelbagai bangsa di Asahan yang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan Orang Asli menjadi kekuatan utama dalam membentuk sebuah komuniti yang bersatu dan saling menghormati.

Selain pengukuhan antara kaum, beliau memaklumkan pendekatan kepimpinannya yang menumpukan keseimbangan di antara kemudahan fizikal serta penekanan pembangunan pendidikan yang juga merupakan kriteria penting memajukan kawasan itu.

“Apabila masyarakat hidup dalam keadaan gembira, selesa dan harmoni, itu adalah tanda jelas bahawa Asahan berada di landasan yang betul sebagai sebuah kawasan sejahtera.

“Kita tidak hanya menumpukan kepada pembangunan infrastruktur semata-mata, tetapi turut memastikan kesejahteraan sosial dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam Wawancara Khas Bersama Melaka Hari Ini sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Asahan.

LIPUTAN TELEKOMUNIKASI LEBIH BAIK

Mesra disapa ‘YB Along’, beliau membuktikan hampir lima tahun memimpin kawasan itu, pelbagai manifesto dan aku janji yang ditawarkan kepada rakyat berjaya direalisasikan.

Antara janji utama yang berjaya dizahirkan adalah menambah baik liputan telekomunikasi baik internet mahupun talian telefon di DUN berkenaan yang selama ini dibelenggu dengan isyarat lemah.

Masalah itu diselesaikan apabila sejak tahun 2021 hingga kini, sebanyak 13 menara telekomunikasi telah dibangunkan di DUN Asahan menerusi inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Melaka ICT Holdings Berhad (MICTH).

“Semuanya diizinkan Allah SWT apabila saya dilantik sebagai Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri dan ia sangat membantu dalam melancarkan pembinaan menara telekomunikasi ini secara berperingkat di Asahan.

“Alhamdulillah dengan inisiatif ini, capaian internet dan telekomunikasi kini semakin baik dan secara tidak langsung ia berjaya merapatkan jurang digital di antara masyarakat bandar dan luar bandar,” katanya.

REALISASI STESEN MINYAK, MESIN ATM

Selain itu, Fairul Nizam turut membawa kegembiraan kepada warga DUN Asahan apabila berjaya merealisasikan pembinaan stesen minyak yang amat ditagih penduduk ekoran di kawasan itu hanya terdapat satu sahaja stesen minyak iaitu di Selandar.

Hasil komitmen dan usaha kerasnya, sebuah lagi stesen minyak akan dibangunkan di Kampung Nyalas, di mana pecah tanah bagi projek itu telah dilakukan dan ia dijangka akan siap pada tahun ini atau awal tahun depan.

Pada masa sama, beliau juga sedang berusaha merealisasikan sebuah lagi stesen minyak di Pekan Asahan yang kini hanya menunggu kelulusan jual beli tanah.

“Dengan adanya kemudahan penting ini, penduduk tidak lagi perlu ke stesen minyak yang terletak lebih jauh dari penempatan mereka dan ia secara tidak langsung memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat di kawasan ini,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau juga turut mengotakan janji untuk menambah kemudahan mesin wang automatik (ATM) ekoran kawasan itu hanya mempunyai satu mesin ATM sahaja di Pekan Selandar.

Atas faktor itu, katanya, penduduk yang tinggal jauh terpaksa berulang-alik ke Jasin bagi urusan pengeluaran wang.

“Sasaran saya adalah untuk mewujudkan mesin ATM di semua pekan kecil termasuklah Pekan Nyalas, Pekan Asahan dan Pekan Batang Melaka dan alhamdulillah sekarang ini ia dalam proses menunggu kelulusan,” katanya.

RUMAH MAMPU MILIK SEDANG DIBANGUNKAN

Menyentuh aspek perumahan mampu milik untuk rakyat yang juga menjadi antara aku janjinya, Fairul Nizam memaklumkan, perkara itu juga sedang direalisasikan.

Jelas beliau, ia menerusi pembinaan projek Rumah Mampu Milik (RMM) yang sedang dibangunkan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) di kawasan seluas 12 ekar di Kampung Mantai.

Pada masa sama, RMM juga turut dibangunkan di Selandar oleh pemaju yang bakal membuka peluang kepada rakyat, khususnya belia mendiami kediaman selesa pada harga berpatutan.

“Proses pembangunan RMM ini perlu melalui beberapa proses dan alhamdulillah ia kini sedang berjalan dan kita berharap ia dapat membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri,” tambahnya.

SEJAHTERAKAN RUMAH IBADAT

Mengulas mengenai usaha mensejahterakan rakyat melalui rumah-rumah ibadat, beliau berkata, sebanyak sembilan masjid dan 24 surau tersedia di DUN berkenaan dan kini melalui proses naik taraf, pembaikan serta keceriaan.

Bukan hanya itu, beliau berkata, program-program pengimarahan masjid dan surau turut diadakan secara berkala, termasuk menjemput penceramah terkenal negara dan kursus-kursus agama bagi memastikan syiar Islam terus subur di Asahan.

Pada masa sama, ujar beliau, sebuah masjid baharu di Pekan Selandar kini sedang dibina dan dijangka siap tidak lama lagi, di mana ia berupaya menampung lebih 1,000 jemaah di kawasan tersebut.

“Institusi masjid dan surau bukan sahaja berperanan sebagai tempat ibadah, tetapi turut menjadi pusat penyatuan masyarakat setempat.

“Usaha mencantikkan dan menyelenggara kemudahan ini adalah sebahagian daripada komitmen kita untuk memastikan kesejahteraan komuniti terus diperkukuh,” katanya.

Pada masa sama, ujar beliau, kebajikan dan keperluan rumah ibadat bukan Islam juga turut diberi perhatian menerusi penyampaian sumbangan dan sokongan kepada aktiviti keagamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

371
Kongsi :
Previous post ‘WELLNESS HUB’ BANTU PESERTA TURUNKAN BERAT BADAN
Next post PENANTIAN GENERASI KEDUA FELCRA BAKAL BERAKHIR