
PENANTIAN GENERASI KEDUA FELCRA BAKAL BERAKHIR
ASAHAN 4 April – Penantian 106 generasi kedua Felcra Desa Mesra Perdana, Bukit Sedanan, di sini, untuk memiliki tanah sendiri bakal berakhir apabila perjuangan dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan menunjukkan perkembangan positif.
Pengerusi Generasi Kedua Felcra Desa Perdana Faizal Mohd Yusof, 47, berkata, usaha itu hampir direalisasikan menerusi pengeluaran notis 5A iaitu dokumen rasmi daripada Pejabat Daerah dan Tanah yang menandakan kelulusan bagi permohonan tanah.
Menurutnya, khabar gembira itu nyata memberi kelegaan kepada semua pemohon generasi kedua kerana rata-rata mereka telah menanti selama kira-kira 16 tahun bagi memohon tanah tersebut.
“Alhamdulillah walaupun sudah berlarutan lama, namun YB Datuk Fairul Nizam Roslan menunjukkan kesungguhan dan komited membantu kami dalam permohonan tanah ini sebaik menjadi wakil rakyat.
“Kalau sebelum ini kami memohon, tiada jawapan diterima, namun kini, progres di bawah YB kami nampak dan amat berterima kasih kepada beliau kerana bersungguh-sungguh membantu generasi kedua ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Jelas Faizal, generasi kedua memohon untuk mendapatkan lot-lot tanah dianggarkan berkeluasan purata kira-kira 5,000 kaki persegi setiap satu bagi memajukan lagi Felcra Desa Mesra Perdana untuk generasi seterusnya.
Menurutnya, daripada membiarkan sahaja tanah-tanah tersebut terbiar, lebih baik ia dimajukan oleh keluarga peneroka dan penduduk asal Felcra tersebut di mana ia secara tidak langsung dapat membantu penempatan di situ terus berkembang.
“Apabila penduduk bertambah, pelbagai infrastruktur dan kemudahan seperti sekolah dan sebagainya akan dibina dan ia dapat membantu kemajuan sesebuah kawasan.
“Jadi kami amat berharap permohonan generasi kedua ini dapat direalisasikan demi manfaat bukan sahaja kepada kami, tetapi juga limpahan pembangunan di sesebuah kawasan dan generasi akan datang,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


