Sorting by

×

PAMERAN WANG LAMA HIMPUN KOLEKSI UNIK

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 4 April – Pameran Wang Lama dan Setem menghimpunkan lapan pengumpul mata wang lama sekali gus mendidik masyarakat mengenai sejarah serta nilai sebenar mata wang.

Dianjurkan oleh Malayan Banknote Fair (MBF), pameran itu berlangsung dari 3 April hingga 5 April 2026 di Pusat Beli-Belah Mahkota Parade, di sini.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pameran itu bukan sahaja mempamerkan koleksi simpanan, malah turut melibatkan transaksi jual beli dalam kalangan pengumpul.

Menurutnya, koleksi yang dipamerkan merangkumi mata wang yang dikumpul sejak zaman persekolahan hingga kini, sekali gus membuka peluang kepada orang ramai memahami sejarah penggunaannya.

“Bukan sekadar pameran, koleksi ini disusun dalam pelbagai cara supaya masyarakat dapat dididik tentang sejarah mata wang dan bagaimana ia digunakan pada suatu ketika dahulu.

“Kebanyakan wang yang dipamerkan juga telah digred mengikut piawaian antarabangsa termasuk not-not baharu, namun untuk mendapatkan wang yang benar-benar sempurna dari segi simetri adalah sangat sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan pameran berkenaan, di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) Madelina Kuah serta wakil Malayan Banknote Fair (MBF).

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat koleksi unik yang ditawarkan pada harga tinggi termasuk dua keping wang kertas yang digred sehingga mencecah RM8,000.

“Selain itu, susunan wang kertas RM100 dari keluaran pertama pada 1997 hingga tahun 2026 melibatkan 15 gabenor turut menjadi antara tarikan utama pameran ini.

“Antara koleksi paling bernilai ialah wang kertas 50 dolar yang dianggarkan mencecah kira-kira RM30,000, menunjukkan nilai tinggi dalam dunia pengumpulan mata wang.

“Ini memberi peluang kepada orang ramai bukan sahaja mencari hobi baharu, tetapi menambah ilmu mengenai nilai dan perdagangan mata wang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

276
Kongsi :
Previous post PENANTIAN GENERASI KEDUA FELCRA BAKAL BERAKHIR
Next post MELAKA TIDAK LAKSANA BEKERJA DARI RUMAH