Sorting by

×

WRUR ASAHAN: ORANG ASLI NIKMATI ‘PAYUNG’ MELAKA SAYANG RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

ASAHAN 5 April – Inisiatif Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) diterjemahkan melalui program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan apabila ia turut memberi tempias kepada komuniti Orang Asli dari empat buah kampung di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, penglibatan komuniti Orang Asli merupakan antara kelainan utama dalam pelaksanaan program WRUR Alor Gajah: Kampung Kita memandangkan Parlimen itu memiliki antara bilangan Orang Asli teramai.

Jelas beliau, selain DUN Asahan, penempatan Orang Asli di bawah Parlimen Alor Gajah juga merangkumi kawasan DUN Machap Jaya dan DUN Gadek.

Justeru, beliau memaklumkan, sebanyak 10 program telah dirangka khusus bagi menyantuni kira-kira 500 komuniti tersebut dengan satu tujuan iaitu merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat berbilang kaum dan etnik.

“Ini pertama kalinya WRUR memberi fokus kepada masyarakat Orang Asli memandangkan Parlimen Alor Gajah memiliki komuniti teramai di Negeri Melaka dan semestinya saya sebagai Pengerusi Penyelaras WRUR menekankan agar setiap lapisan masyarakat dalam sesuatu DUN itu disantuni.

“Maka, seramai 500 Orang Asli ini disantuni dengan mengadakan Sukan Orang Kita, selain sembilan program lain turut dirangka untuk komuniti ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Alor Gajah: Kampung Kita dan Majlis Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Asahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Senggeh, di sini, semalam.

Terdahulu, majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, pelaksanaan WRUR di DUN Asahan disusun dengan pengisian 115 program pada waktu siang dan malam mengikut zon.

Katanya, semua pengisan program melibatkan pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

570
Kongsi :
Previous post RAKYAT SAYANG TELOK MAS, 15,000 BERAYA DALAM SUASANA MERIAH
Next post MELAKA BAKAL UMUM ‘MANIS-MANIS’ UNTUK PESAWAH