Sorting by

×

SITI NAJIHA ‘TERANGI’ HIDUP OKU

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

ASAHAN 5 April – Kehilangan upaya penglihatan sejak usia enam tahun dan bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) bukan penghalang buat Siti Najiha Abdul Rahman, 34, membuktikan dirinya mampu berjaya.

Semangat itu dibuktikan menerusi kejayaan dalam bidang sukan olahraga, selain kini turut menyumbang kepada komuniti OKU dalam bidang penerbitan cetakan al-Quran braille.

Menurut anak keenam dari tujuh beradik itu, dia bermula dengan bidang sukan sejak di bangku sekolah dan terpilih mewakili negara dalam acara balapan 100 meter, 200 meter dan lompat jauh.

Antara pencapaian gemilang anak jati Selandar itu adalah meraih tiga pingat emas pada Majlis Sukan Paralimpik Sarawak serta dua perak dan satu gangsa di temasya Asian Para Games Tokyo 2009, selain turut dinobat Olahragawati Paralimpik Peringkat Kebangsaan.

“Saya bersekolah di sekolah yang mengajar golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan duduk di asrama sejak kecil lagi jadi memang sudah dididik untuk berdikari.

“Dari situ saya mula aktif bersukan dan bakat digilap sehingga mewakili negeri dan negara hingga mencipta pelbagai kejayaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bagi Siti Najiha, status ‘istimewa’ tidak menjadikannya insan yang lemah, sebaliknya membakar semangat untuk membantu dan menjadi contoh kepada mereka yang senasib dengannya.

Kini, dia terus memberi sumbangan kepada komuniti OKU dengan berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir Penerbitan di Bahagian Cetakan Al-Quran Braille, Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) sejak 2016.

“Kita kena hargai apa yang kita ada dan terus berusaha, sentiasa bersyukur dan tanam dalam diri kekurangan bukan penghalang untuk berjaya, malah boleh menjadi kekuatan jika kita tidak mudah berputus asa,” katanya.

Di atas semangat dan inspirasi itu, Siti Najiha telah diangkat sebagai Ikon Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

Anugerah itu telah disampaikan sendiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Program WRUR Alor Gajah: Kampung Kita yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Senggeh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

404
Kongsi :
Previous post DUN AYER LIMAU FOKUS RUMAH MAMPU MILIK, BAWAH RM250,000
Next post MELAKA NAFI CATU AIR, BEKALAN MASIH STABIL