Sorting by

×

KRISIS ASIA BARAT: MELAKA ATUR STRATEGI TERUS RANCAKKAN PELANCONGAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TELOK MAS 5 April – Kerajaan Negeri akan terus memperhebat usaha memajukan industri pelancongan negeri meskipun berdepan beberapa cabaran global termasuk konflik Asia Barat yang sedang berlaku kini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, meskipun krisis yang berlaku bakal memberi sedikit kesan kepada aliran pelancong antarabangsa, namun Kerajaan Negeri akan giat mengatur strategi menerusi pelbagai inisiatif.

Jelas beliau, ia termasuklah mempelbagaikan promosi dalam memastikan Melaka kekal menjadi destinasi pilihan utama pelancong baik dari dalam mahupun luar negara.

“Walaupun terdapat perubahan dalam trend kemasukan pelancong, Kerajaan Negeri yakin sektor ini akan kembali rancak seiring dengan peningkatan ketersambungan penerbangan (connectivity) serta pembukaan lebih banyak laluan antarabangsa.

“Di peringkat Kerajaan Negeri kita akan teruskan pelbagai perancangan dan strategi bagi memastikan sektor pelancongan Melaka terus berkembang,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Telok Mas di Padang Bola Taman Seri Telok Mas, di sini, semalam.

Terdahulu majlis berkenaan diserikan dengan kehadirian Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata, Melaka kini memberi tumpuan kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) dan Tahun Melawat Melaka 2.0 sebagai platform memperkukuh kedudukan negeri itu dalam industri pelancongan negara.

“Fokus kita sekarang adalah memperkemas dan memperkukuh tarikan pelancongan pada tahun ini.

“Pelbagai program berterusan dilaksanakan termasuk pengisian acara pelancongan dan komuniti bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Melaka,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

517
Kongsi :
Previous post MELAKA BAKAL UMUM ‘MANIS-MANIS’ UNTUK PESAWAH
Next post ASAHAN DI BAWAH YB ALONG SUDAH BANYAK BERUBAH