
MELAKA BAKAL UMUM ‘MANIS-MANIS’ UNTUK PESAWAH
MERLIMAU 5 April – Kerajaan Negeri dijangka mengumumkan insentif khas kepada pesawah bagi mengurangkan beban kos operasi yang meningkat susulan kenaikan harga diesel.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata,
langkah itu diambil selepas sesi libat urus bersama pesawah diadakan pihaknya yang mendapati terdapat kenaikan kos jentera sehingga 40 peratus.
“Saya sudah berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh apakah cara yang Kerajaan Negeri boleh bantu pesawah. Insya-Allah pada minggu hadapan akan ada pengumuman insentif daripada Kerajaan Negeri untuk pesawah.
“Dalam masa terdekat akan ada satu lagi sesi libat urus dan selepas Mesyuarat Exco pada Rabu dijangka Ketua Menteri akan mengumumkan sesuatu selepas perbincangan dibuat serta mendapat kelulusan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau,yang turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman.
Turut hadir Ketua Menteri bersama isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, bantuan Kerajaan Negeri amat penting bagi memastikan pesawah di Melaka dapat bertahan dalam keadaan serba mencabar susulan krisis Asia Barat yang berlaku ketika ini.
Pada masa sama, ujar beliau, ia juga secara tidak langsung dapat memastikan pengeluaran Beras Melaka tidak terjejas.
“Usaha ini diharap dapat membantu pesawah selain memastikan agar mereka terus bersawah. Kita bimbang jika mengalami kerugian mereka tidak mahu lagi bersawah.
“Di Melaka kita mempunyai 1,500 hektar tanah sawah padi jadi kami akan cuba membantu sedaya upaya untuk mengoptimumkan semua tanah sawah yang ada,” katanya.
Sementara itu, beliau turut meminta semua petani dan pesawah di negeri ini untuk tampil berdaftar dengan Jabatan Pertanian bagi membolehkan data lengkap diperolehi, seterusnya memudahkan penyaluran bantuan dilaksanakan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


