
25 LAMPU SOLAR TERANGI LALUAN GELAP MACHAP JAYA
MACHAP JAYA 7 April – Berapa laluan gelap dan berbahaya kerap berlaku kemalangan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya akan diterangi dengan lampu jalan jenis solar yang baharu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem.
Beliau berkata, hasil perjumpaan bersama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer baru-baru ini sebanyak 25 unit lampu jalan solar dicadangkan akan di pasangan sekitar DUN berkenaan.
“Kita sudah mengenal pasti laluan berkenaan seperti Jalan Hutan Percha – Tebong, Jalan Ayer Pasir dan Jalan Lesung Batu.
“Sebenarnya jumlah yang akan dipasang pada tahun ini adalah sebagai tambahan kepada lampu jalan sedia ada, kita sentiasa menambah baik aspek pencahayaan laluan utama dalam DUN Machap Jaya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan berkata demikian ketika ditemui pada Jamuan Aidilfitri DUN Machap Jaya di Dewan Terbuka Felda Hutan Percha, di sini, semalam.
Mengulas lanjut Hee Sem berkata, DUN Machap Jaya juga akan menerima tambahan 13 batang lampu jalan solar hasil sumbangan sebuah syarikat swasta.
“Lampu ini juga akan dipasang di laluan-laluan yang sudah kita kenal pasti, sekali gus meningkatkan lagi tahap keselamatan buat pemandu dan penunggang motosikal,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi tujuan pemasangan lampu jenis solar di kawasan gelap seluruh Melaka.
Pemasangan lampu jalan baharu itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua bulan selepas proses lantikan konsesi selesai.
Inisiatif itu merupakan langkah berterusan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan penduduk khususnya di kawasan luar bandar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


