
GAPAM BARU DIANGKAT PERKAMPUNGAN BUDAYA ORANG ASLI PERTAMA NEGARA
ASAHAN 7 April – Perkampungan Budaya Orang Asli pertama negara bakal dibangunkan di Gapam Baru dalam usaha memartabatkan warisan budaya masyarakat itu ke peringkat lebih tinggi.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Melaka terpilih selepas cadangan penubuhan perkampungan itu dipersetujui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, inisiatif itu penting bagi memastikan budaya Orang Asli terus terpelihara memandangkan ketika ini semakin ramai dalam kalangan komuniti berkenaan berhijrah keluar dari kampung.
“Perkampungan budaya ini akan dibangukan di Gapam Baru di atas tanah berkeluasan hampir satu hektar.
“Namun begitu perkara ini masih dalam peringkat perbincangan di pihak kementerian untuk diperhalusi bajet yang akan diterima dan dijangka dalam tahun ini dijangka akan diumumkan jumlah bajet yang kita bakal dapat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Karnival Sukan Orang Kita (Masyarakat Orang Asli) yang dianjurkan bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Asahan yang berlangsung di Padang Awam Kampung Masjid Baru, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan/Melaka, Shahrani Idderis.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, projek itu dilihat sebagai salah satu langkah untuk memartabatkan budaya Orang Asli sekali gus menjadikan negeri ini antara peneraju dalam usaha pemeliharaan warisan masyarakat tersebut.
“Kelak apabila wujud perkampungan budaya itu ia akan diuruskan sendiri oleh komuniti Orang Asli, ini supaya dapat membantu mengekalkan warisan dan identiti mereka daripada terhakis,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


