Sorting by

×

UTEM TUBUH PUSAT KEPIMPINAN AI PERTAMA NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

DURIAN TUNGGAL 8 April – Universiti Teknikal Malaysia Melaka ( UTeM) mencipta sejarah tersendiri apabila menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kemimpinan Kecerdasan Buatan (AI-LEAD UTeM) yang pertama dalam negara.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, penubuhan pusat tersebut bertujuan memperkukuh peranan universiti itu sebagai peneraju dalam melahirkan pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja celik teknologi, malah berupaya memimpin era kecerdasan buatan secara beretika, strategik dan bertanggungjawab.

Menurut beliau, AI LEAD UTeM akan berfungsi sebagai pusat pemikir dan pakar rujuk di peringkat nasional, serantau dan global, di mana ia merangkumi pelaksanaan latihan, penyelidikan, perundingan serta pembangunan polisi dan governan berkaitan kepimpinan dalam era kecerdasan buatan.

“Penubuhan ini dijangka memberi impak besar pembangunan kepimpinan berasaskan AI di samping memperkukuh rangkaian akademik dan institusi.

“Pada masa sama, ia juga berupaya memperkukuhkan budaya latihan dan pembangunan, perundingan, penyelidikan dan inovasi berteraskan AI melalui penerbitan ilmiah berimpak tinggi serta penghasilan kertas polisi yang relevan dengan keperluan industri dan negara,” katanya.

Tambahnya, pusat berkenaan telah memulakan operasi sejak hujung Februari lalu dan akan dilaksanakan dalam tiga fasa merangkumi penubuhan dan perancangan strategik dalam fasa satu, diikuti pelaksanaan program, penyelidikan dan kolaborasi industri pada fasa dua, manakala fasa tiga memfokuskan pensijilan pengantarabangsaan, penjanaan pendapatan dan pemantapan petunjuk prestasi utama (KPI).

Majlis peluncuran AI-LEAD UTeM telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Kampus Induk UTeM baru-baru ini.

Pada majlis sama, Tun Dr. Mohd Ali turut merasmikan Galeri Cheng Ho UTeM di Perpustakaan Laman Hikmah yang dijangka menjadi pusat rujukan dan penyelidikan berkaitan sejarah maritim serta hubungan antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

364
Kongsi :
Previous post ‘TANGAN AJAIB’ PASUKAN LANDSKAP MPJ SERLAH KECERIAAN JASIN
Next post WRUR ASAHAN: INOVASI TEPUNG PISANG GORENG SEGERA SHAMSIAH