
WRUR ASAHAN: HAMPIR 2,000 PENDUDUK DI 14 KOA MELAKA NIKMATI WIFI PERCUMA
ASAHAN 7 April – Kerajaan Negeri memperluaskan inisiatif WiFi percuma di semua 14 Kampung Orang Asli (KOA) seluruh Melaka yang memberikan manfaat kepada hampir 2,000 penduduk.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, daripada jumlah itu, lima KOA di daerah Jasin telah menikmati kemudahan berkenaan, manakala sembilan lagi akan dilaksanakan secara berperingkat tahun ini.
Katanya, langkah itu merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan Melaka Digital yang bertujuan memastikan komuniti Orang Asli tidak ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi.
“Pemberian WiFi percuma ini akan diperluaskan ke semua KOA dalam negeri ini secara berperingkat, dengan tambahan sembilan kampung lagi pada tahun ini.
“Usaha ini bagi memastikan golongan Orang Asli turut mendapat akses kepada kemudahan digital seperti komuniti lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perkhidmatan WiFi Percuma Negeri Melaka sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Asahan di Balai Raya KOA Solok Terentang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya Ogos depan namun ia tertakluk kepada proses kewangan dan pelaksanaan semasa.
“Lima KOA yang telah menerima kemudahan WiFi percuma ialah KOA Solok Terentang, Gapam Baru, Bukit Seraya dan Lubuk Bandung, sekali gus menjadi perintis kepada peluasan inisiatif berkenaan di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


