Sorting by

×

WRUR ASAHAN: MELAKA PERUNTUK RM450,000 PERLUAS CAPAIAN INTERNET KAMPUNG ORANG ASLI

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

ASAHAN 8 April – Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM450,000 bagi memperluas liputan WiFi percuma di Kampung Orang Asli (KOA) di negeri ini, sekali gus merapatkan jurang digital dalam kalangan komuniti terbabit.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, peruntukan itu memberi fokus kepada peluasan capaian internet selain kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan sedia ada.

Katanya, inisiatif tersebut merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan tahun lalu yang melibatkan peruntukan RM500,000 bagi tujuan sama.

“Peruntukan ini digunakan khusus untuk inisiatif WiFi percuma di seluruh perkampungan Orang Asli di negeri ini.

“Kita akan pastikan liputan internet lebih menyeluruh agar manfaatnya dapat dirasai semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perkhidmatan WiFi Percuma Negeri Melaka sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Balai Raya KOA Solok Terentang, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, kerajaan negeri komited memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan digital.

Katanya, setakat ini empat KOA di Asahan termasuk satu di DUN Rim telah menerima kemudahan tersebut dan memberi impak besar kepada penduduk setempat.

“Kesemua KOA ini menerima manfaat dan tiada satu pun yang tertinggal, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

404
Kongsi :
Previous post WRUR ASAHAN: INOVASI TEPUNG PISANG GORENG SEGERA SHAMSIAH
Next post DUN MACHAP JAYA KONGSI RAYA, KONGSI SELERA