
WRUR ASAHAN: TAK PERLU LAGI PANJAT BUKIT CARI ‘LINE INTERNET’
ASAHAN 7 April – Inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan WiFi percuma di Kampung Orang Asli (KOA) membawa perubahan besar kepada kehidupan penduduk, terutamanya dalam aspek komunikasi, pendidikan dan akses maklumat.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati rata-rata penduduk merakamkan penghargaan dan menzahirkan rasa terima kasih terhadap manfaat yang diberi serta membuka lebih banyak peluang kepada komuniti tersebut.
Tok Batin KOA Solok Terentang Rahmat Ali, 47, meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan dan pihak berkaitan di atas usaha tersebut yang disifatkan amat bermanfaat kepada komuniti setempat.
“Sebelum ini penduduk kampung berdepan kesukaran untuk menerima capaian internet yang laju dan memerlukan untuk ke tempat lebih tinggi atau bukit bagi mendapatkan ‘signal’ supaya ‘line’ internet lebih laju, tapi kini tidak perlu lagi.
“Anak-anak yang bersekolah turut mendapat manfaat dan kita penduduk di sini terasa lebih membangun dengan adanya kemudahan internet secara percuma,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan WiFi Percuma Negeri Melaka sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Balai Raya KOA Solok Terentang, di sini, hari ini.

Nada sama turut disuarakan penduduk KOA Solok Terentang, Norini Jani, 58, yang menyifatkan kemudahan tersebut sebagai satu kemajuan besar yang boleh dibanggakan, sekali gus mengurangkan jurang digital untuk masyarakat Orang Asli.
“Saya bangga kampung kami sudah menerima internet percuma, selepas ini jika saudara mara datang tidak perlu lagi keluar rumah untuk mencari ‘line’. Terima kasih kepada pihak yang menyediakan WiFi percuma ini.
“Selepas ini anak-anak juga boleh melayari internet bagi tujuan pembelajaran di dalam bilik sahaja, malah saya juga boleh merujuk resepi dalam talian tanpa tersekat-sekat,” katanya.

Selain itu, penduduk KOA Bukit Seraya, Nora Suyu, 49, berkata, manfaat daripada internet percuma itu amat membantu dalam meringankan beban kewangan apabila tidak perlu lagi untuk membeli data tambahan.
“WiFi percuma ini sangat membantu kepada pelajar, ibu-ibu suri rumah seperti saya kerana setiap kali hendak melayari internet perlu membeli data, capaian internet pula agak perlahan, kadang-kadang jadi membazir sebab tidak dapat digunakan.
“Bila adanya internet percuma ini memang sangat menjimatkan, semua golongan dapat menerima manfaat. Terima kasih Kerajaan Negeri, ini benar-benar bukti gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

