Sorting by

×

LOJI RAWATAN AIR JUS FASA 2 LEGAKAN PENDUDUK ASAHAN

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

ASAHAN 8 April – Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan bakal menikmati bekalan air lebih stabil dan mencukupi hasil daripada pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 oleh Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek bernilai RM11.6 juta itu dilaksanakan melalui Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sebagai langkah memperkukuh sistem bekalan air di DUN Asahan.

Menurutnya, projek yang bermula pada Mei 2025 itu dijangka siap sepenuhnya pada 7 Julai 2026, sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk yang sebelum ini kerap berdepan masalah tekanan air khususnya melibatkan mereka tinggal di kawasan tinggi dan jauh dari sumber utama.

“Loji rawatan sedia ada yang dibina sejak 2010 mempunyai kapasiti 4.5 juta liter sehari, namun peningkatan jumlah penduduk serta perkembangan sektor industri menyebabkan permintaan bekalan semakin tinggi.

“Justeru, pelaksanaan Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 dengan kapasiti tambahan lima juta liter sehari adalah langkah strategik bagi memastikan bekalan air lebih mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan di Empangan Jus, sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mtyheen Kunju Basheer serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut hadir Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom dan Ketua Pegawai Eksekutif SAMB Datuk Mohd Saleh Jusman.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata projek berkenaan mampu menjadi penyelesaian jangka panjang terhadap isu gangguan bekalan air di beberapa kawasan termasuk Kampung Bukit Senggeh dan Kampung Orang Asli Jus.

Selain itu, katanya, projek itu turut mengurangkan kebergantungan kepada Tangki Air Senandung B3 serta Loji Rawatan Air Bertam di samping memperkukuh sistem agihan air negeri secara keseluruhan.

“Pelaksanaan ini juga dapat mengurangkan keperluan penggunaan tangki air ‘jambo’, khususnya ketika kerja penyelenggaraan dijalankan.

“Malah, ia turut menyokong peningkatan permintaan air bagi sektor industri seperti kilang Huat Lai selaras dengan pertumbuhan ekonomi di kawasan ini,” katanya.

Beliau menegaskan, projek berkenaan bukan sekadar pembinaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Air adalah hak rakyat dan kerajaan komited memastikan setiap rumah, kampung serta komuniti menerima bekalan air yang stabil dan terawat dengan baik.

“Usaha memperkukuh infrastruktur air akan terus menjadi antara agenda utama di bawah aspirasi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

400
Kongsi :
Previous post DUN MACHAP JAYA KONGSI RAYA, KONGSI SELERA
Next post WRUR ASAHAN: PENDEKATAN FLEKSIBEL BANTU LEBIH RAMAI RAKYAT MILIKI KEDIAMAN