Sorting by

×

SENARAI ATLET MELAKA KE SUKMA XXII DIUMUM HUJUNG MEI

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 10 April – Senarai pendek atlet kontinjen Melaka ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dijangka akan diumumkan pada hujung Mei depan.

Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal berkata, senarai nama itu dikeluarkan selepas proses pemilihan berdasarkan senarai panjang (longlist) melibatkan 656 atlet.

“Daripada jumlah sekarang selepas melalui proses pemilihan kemungkinan hanya kira-kira 400 atlet tersenarai dalam ‘shortlist’ yang mana mereka ini berpotensi menyumbang pingat untuk Melaka.

“Kita menghantar atlet yang berkualiti supaya mereka boleh membantu Melaka mencapai sasaran atau pulangan pingat yang ditetapkan.

“Atlet-atlet ini perlu bersaing dengan lawan negeri lain yang kuat antaranya seperti Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Mohd Asri, persiapan kontinjen Melaka untuk bertanding di SUKMA dimulakan lebih awal sejak tahun lalu termasuk menerusi pelaksanaan ‘Projek Emas’ yang memberi tumpuan kepada atlet berpotensi.

“Melalui projek ini, kira-kira 30 atlet yang pernah meraih pingat emas, perak dan gangsa diberi elaun sebagai galakan untuk terus mengekalkan prestasi selain memastikan mereka berada pada tahap terbaik serta mampu menyumbang pingat kepada Melaka.

“Untuk SUKMA XXII Selangor 2026 ini Melaka akan menyertai 36 acara daripada 37 keseluruhan sukan yang dipertandingkan dengan sasaran 20 pingat emas.

“Antara sukan yang diberi tumpuan dan dijangka menjadi penyumbang pingat adalah wushu, silat, badminton, ping pong, angkat berat dan muay thai namun begitu acara lain tetap diberi tumpuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

471
Kongsi :
Previous post MASJID, SEKOLAH DUN KESIDANG TERIMA SUMBANGAN RM80,000
Next post SILK ROAD PASSION: HIMPUN 80 KARYA ARTIS MALAYSIA-CHINA