
WRUR ASAHAN: DISANGKA DEMAM BIASA, RUPANYA KANSER DARAH TAHAP 4
ASAHAN 8 April – Disangka sekadar demam biasa, namun simptom menggigil kesejukan yang dialami rupa-rupanya petanda kepada penyakit kanser darah tahap empat.
Itu ujian berat yang ditempuh Ahmad Abd Hamid, 64, seorang bekas bilal dari Taman Batang Melaka, di sini, yang kini hanya terlantar di atas katil, selain perlu mendapatkan rawatan kimoterapi secara berkala.
Menurut isterinya, Jamilah Rahmat, 57, kehidupan mereka sekeluarga seakan terhenti seketika apabila dimaklumkan mengenai penyakit itu pada Januari lalu selepas beberapa ujian dijalankan termasuk pengambilan air tulang belakang.
Katanya, pada peringkat awal, sukar untuk menerima kenyataan memandangkan suaminya sebelum ini seorang yang aktif melakukan kerja harian seperti berkebun, menangkap ikan di sungai serta berkhidmat sebagai bilal di surau.
Namun, kini dia reda dan akan sedaya upaya berjuang bersama suaminya sambil mengharapkan akan ada keajaiban untuk pulih seperti sedia kala.
“Raya tahun ini mungkin paling sedih untuk kami sekeluarga. Raya pertama, mak cik hanya beraya di hospital dan anak-anak tidak dapat menyambut raya dengan ayahnya. Malah, baju raya pun kami tidak beli.
“Walaupun begitu, mak cik mahu jadi lebih kuat dan terus beri sokongan kepada pak cik untuk lawan penyakit ini. Mak cik yakin kanser ini boleh pulih dan tidak akan sesekali mengalah untuk terus beri semangat kepada pak cik jadi lebih kuat,” katanya kepada Melaka Hari Ini dalam nada sebak.
Terdahulu, Ahmad dan Jamilah dikunjungi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mengadakan ziarah kasih dan menyampaikan sumbangan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, di kediaman mereka di Taman Batang Melaka.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka Halyjah Muhamad serta lain-lain kenamaan.
Menurut ibu kepada empat anak itu, dia dan keluarga amat terharu apabila diziarahi sendiri pemimpin negeri yang bukan hanya menyampaikan sumbangan, malah turut bersama mendoakan kesihatan dan kesejahteraan suaminya.
Katanya, walaupun sedang sakit, namun suaminya itu kelihatan ceria dan boleh tersenyum sebaik melihat kedatangan Ketua Menteri bersama pemimpin dan penduduk kampung yang lain.
“Mak cik dapat lihat pak cik lebih bersemangat dan gembira bercampur terharu bila Ketua Menteri datang ziarah. Inilah lambang keprihatinan pemimpin yang sentiasa mengambil berat terhadap nasib rakyat.
“Selain mendoakan diangkat penyakit pak cik, semua yang datang juga sedia membantu mendapatkan bantuan lampin pakai buang dan susu pesakit terlantar memandangkan kini pak cik tidak lagi boleh makan seperti biasa,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

