Sorting by

×

WRUR ASAHAN: YB ALONG MAHU TUBUH CAWANGAN PESARA TENTERA, POLIS

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

ASAHAN 9 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berhasrat menubuhkan cawangan baharu membabitkan persatuan pesara polis dan tentera di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

Beliau yang mesra disapa YB Along berkata, cawangan baharu itu bertujuan untuk memudahkan segala urusan bantuan dan penyampaian sumbangan kepada golongan pesara di kawasan itu, khususnya membabitkan warga emas.

“Dengan adanya cawangan baharu ini, segala urusan berkaitan kebajikan dan penyampaian sumbangan dapat dipermudahkan untuk kita membantu pesara-pesara badan beruniform seperti polis dan tentera.

“Ini sebagai tanda penghargaan di atas jasa mereka yang telah mempertahankan keselamatan dan keamanan negara serta rakyat selama ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Hi-Tea Bersama Pesara Polis sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Asahan yang diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Selandar, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta lain-lain kenamaan.

Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, penglibatan pesara dalam sisipan program WRUR membuktikan inisiatif turun padang itu benar-benar menyelami segenap lapisan masyarakat di peringkat akar umbi.

Jelas beliau, selain pesara, beliau juga sedang merangka program bersama 374 ibu tunggal di DUN Asahan bagi memastikan nasib dan suara mereka turut didengari.

“Walaupun tidak dapat merangka slot dalam WRUR DUN Asahan atas kekangan tempoh masa, namun saya akan pastikan program ini (bersama ibu tunggal) akan tetap diadakan selepas WRUR DUN Asahan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post AURA REWANG MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI PANTAI KUNDOR
Next post WRUR ASAHAN: JULANG MARTABAT, RAIKAN ORANG ASLI