Sorting by

×

AURA REWANG MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI PANTAI KUNDOR

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PANTAI KUNDOR 9 April – Semangat bergotong-royong atau rewang mencetuskan aura yang memeriahkan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, berlangsung meriah apabila dihadiri kira-kira 6,000 orang tetamu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, persiapan majlis itu melibatkan warga Japerun Pantai Kundor, penduduk dari 20 kampung, wanita dan pemuda UMNO selain sukarelawan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

Tuminah berkata, konsep itu adalah selaras dengan saranan kerajaan supaya mengamalkan langkah penjimatan susulan krisis global yang berlaku ketika ini.

“Kami berkampung selama tiga hari bagi memastikan setiap yang dirancang dapat dilaksanakan. Selain juadah dimasak secara rewang persiapan turut dilakukan secara gotong-royong.

“Alhamdulillah kehadiran tidak mengecewakan malah melihat sambutan ia begitu melegakan. Pengunjung yang datang bukan sahaja masyarakat Melayu tetapi ada juga India serta Cina,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan berlangsung di Arena Petanque, bersebelahan Japerun Pantai Kundor, di sini, semalam.

Kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman melengkapkan kemeriahan majlis itu.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, penganjuran rumah terbuka bukan sahaja sebagai platform menghargai penduduk malah memberi peluang kepada pemimpin untuk bersemuka dan menyantuni masyarakat secara lebih dekat.

“Bagi saya, rumah terbuka ini perlu untuk kita berkongsi rezeki dan mendekati penduduk selain ia perlu dibuat mengikut kemampuan dan mengambil langkah penjimatan.

“Selain itu juga, ia secara tidak langsung dapat mengeratkan ukhwah antara penduduk dan wakil rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

322
Kongsi :
Previous post WRUR ASAHAN: RUMAH BAHARU SINARI KEHIDUPAN NEK PATIMAH, LIMA CUCU
Next post WRUR ASAHAN: YB ALONG MAHU TUBUH CAWANGAN PESARA TENTERA, POLIS