Sorting by

×

WRUR ASAHAN DAPAT SAMBUTAN BAIK, RAKYAT MENANTI SIRI KEDUA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

ASAHAN 10 April – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan yang berlangsung 3 hingga 11 April mendapat sambutan hebat daripada masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, ia dapat dilihat apabila program yang dirangka menerima kehadiran luar biasa meskipun diadakan pada hari pekerja.

Justeru, beliau percaya program yang digagaskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu semakin diterima ramai selepas melihat impaknya pada siri penganjuran sebelum ini.

“Walaupun di kawasan lain berdepan kesukaran untuk menarik kehadiran masyarakat pada hari bekerja, namun di DUN Asahan ini kita dapat menarik kehadiran ramai kerana ia disesuaikan dengan demografi penduduk di kawasan ini.

“Mengambil contoh program pekebun kecil bersama penoreh getah sebelum ini, kita mendapat kehadiran lebih 100 orang dan begitu juga program-program lain.

“Ia menunjukkan bahawa apabila sesebuah program itu disesuaikan dengan rakyat dan kawasan, sudah pasti ia akan mendapat sambutan amat baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Hi-Tea Bersama Pesara Polis sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Asahan yang diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Selandar, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta lain-lain kenamaan.

Fairul Nizam yang juga Pengerusi Penyelaras WRUR berkata, berdasarkan maklum balas diterima daripada masyarakat, rata-rata mereka amat menantikan lagi program itu kembali untuk siri kedua pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

445
Kongsi :
Previous post SILK ROAD PASSION: TERJEMAH PELAYARAN CHENG HO MENERUSI PERSPEKTIF SENI
Next post MASJID, SEKOLAH DUN KESIDANG TERIMA SUMBANGAN RM80,000