
MELAKA ADA ASAS TIDAK LAKSANA ‘BDR’
SERI NEGERI 9 April – Keputusan Kerajaan Negeri tidak melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) mempunyai asasnya, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad.
Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira faktor kebolehsampaian atau jarak serta akses yang dekat dalam negeri ini, selain faktor keperluan lain yang perlu diambil kira.
Jelas beliau, keputusan itu telah dipersetujui menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Jadi buat masa ini Kerajaan Negeri telah mengumumkan untuk tidak melaksanakan dasar bekerja dari rumah dan di peringkat penjawat awam kita akan meneruskan tugas dan tanggungjawab seperti biasa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka di Dataran Seri Negeri, di sini, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pegawai sektor awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, selain semua ibu negeri dengan jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer dibenarkan bekerja dari rumah (BDR).
Pelaksanaan BDR selama tiga hari dalam seminggu untuk perkhidmatan awam itu berkuat kuasa mulai 15 April ini, susulan konflik Asia Barat dan krisis tenaga yang berlaku kini.
Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR4.1.2: Dasar BDR, negeri di mana Ahad menjadi hari kelepasan mingguan, BDR ditetapkan Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari.
Manakala, untuk negeri membabitkan hari kelepasan mingguan pada Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu pula, BDR adalah secara sepenuh hari pada Isnin hingga Rabu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


