Sorting by

×

MELAKA NAIKKAN PERUNTUKAN ‘MELAKA RUMAHKU’ KEPADA RM5 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

ASAHAN 9 April – Peningkatan jumlah peruntukan Program Melaka Rumahku (PMR) kepada RM5 juta bagi 2026 membuktikan Kerajaan Negeri amat komited dalam membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.

Malah angka itu juga mencerminkan kepimpinan Kerajaan Negeri diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, serius dalam aspek kebajikan selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang dilaungkan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, peningkatan bagi 2026 agak ketara kerana bagi tahun sebelum ini jumlah yang diperuntukan adalah RM3 juta.

“Menerusi inisiatif ini setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta untuk pelaksanaan PMR iaitu RM2 juta bagi PMR Bina Baharu, sementara itu RM1 juta lagi bagi PMR Baik Pulih.

“Tetapi bagi 2026 Ketua Menteri berbesar hati dan menaikkan peruntukan kepada RM5 juta. Pastinya dengan tambahan peruntukan ia akan memperluas capaian program serta memberi manfaat kepada lebih ramai penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Melaka Rumahku (PMR) Bina Baharu Lembaga Perumahan Melaka bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, di Kampung Jus Permai, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin.

Menurut Rais, sejak PMR dilaksanakan sehingga kini LPM telah meluluskan RM4.12 juta bagi pembinaan 66 unit rumah baharu, manakala RM882,950 pula untuk kerja baik pulih 61 unit kediaman seluruh Melaka.

“Manakala untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan pula bagi tempoh 2023 hingga 2026 ia melibatkan seramai lapan penerima termasuk dua untuk baik pulih dengan peruntukan RM365,500,” katanya.

Jelasnya, dalam memastikan pelaksanaan ini berjalan lancar, LPM berperanan sebagai agensi pelaksanaan dalam menguruskan permohonan, penilaian serta pelaksanaan pembinaan rumah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

352
Kongsi :
Previous post KRISIS ASIA BARAT: TEMPAHAN TUNAI UMRAH MENURUN 20 PERATUS
Next post MAIM SEDIA 6 PROGRAM KEMAHIRAN BANTU PERKASA ASNAF