
SILK ROAD PASSION: TERJEMAH PELAYARAN CHENG HO MENERUSI PERSPEKTIF SENI
BANDA HILIR 9 April – Pameran seni lukis cat air Silk Road Passion: Malaysia-China Art Exhibition berlangsung di Balai Seni Lukis, dari 7 April hingga 31 Julai depan menjadi lambang kesatuan kreativiti dan semangat kolaborasi seni merentas negara.
Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, pameran menghimpunkan 80 karya artis Malaysia dan China itu mengajar masyarakat untuk melihat dunia daripada perspektif berbeza.
Katanya, lukisan dipamer memperlihatkan bagaimana seni mampu menyatukan dua budaya besar dalam satu ruang yang harmoni, saling melengkapi dan menghormati.
“Menerusi pelbagai naratif seni cat air yang digunakan, karya-karya yang dipamerkan menyatukan manusia, menyemai empati, membina persefahaman dan mengurangkan jurang perbezaan.
“Lebih membanggakan pameran ini membuka ruang artis tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi teknik, idea serta pengalaman kreatif. Selain memperkaya mutu karya ia turut menjadi pemangkin kepada jaringan kolaborasi seni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Silk Road Passion: Malaysia-China Art Exhibition di Balai Seni Lukis, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Nasrul Ahmad; Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, Nasrul Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ban Hong berkata, bertemakan semangat ‘laluan sutera’, pameran itu menterjemah hasil pelayaran Laksamana Cheng Ho yang membuka laluan perdagangan serta pertukaran budaya antara Melaka dan China khususnya.
“Pameran ini ‘menghidupkan kembali semangat itu menerusi karya seni yang mana bukan sahaja indah dipandang, malah sarat dengan makna, emosi, sejarah dan identiti budaya.
“Selain itu, pameran ini boleh dijadikan inisiatif mendidik generasi muda agar lebih menghargai seni visual serta melahirkan bakat baharu dalam bidang seni halus negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

