Sorting by

×

MHI, DBP WILAYAH SELATAN PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK MARTABAT BAHASA

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 9 April – Melaka Hari Ini (MHI) Sdn Bhd bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP Wilayah Selatan terus memperkukuh jalinan kerjasama strategik bagi memperkasa bahasa khususnya dalam kalangan rakyat Melaka.

Kerjasama itu dijalin menerusi sesi kunjungan hormat DBP Wilayah Selatan yang diketuai Pengarahnya, Dr. Syaidul Azam Kamarudin bersama delegasi ke atas Ketua Pegawai Eksekutif MHI Sdn Bhd Nasharuddin Muhammad di Pejabat MHI Sdn Bhd di Kompleks CMI, di sini, hari ini.

Pada sesi perbincangan tersebut, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk meneruskan penganjuran kuiz di dalam akhbar digital dan cetak Melaka Hari Ini selepas kejayaan Kuiz Bitara Bahasa dan Sastera pada tahun lalu.

Bagaimanapun, pada tahun ini, ia diubah kepada Kuiz Lentera Jawi iaitu sebuah ruangan kuiz bahasa yang diperkenalkan bagi mengangkat dan memartabatkan tulisan Jawi sebagai warisan bangsa yang bernilai tinggi.

Kuiz tersebut bakal bermula pada Mei hingga Oktober 2026 yang akan disiarkan pada setiap minggu di dalam ruangan akhbar digital atau cetak serta platform media sosial Melaka Hari Ini.

Pemenang dipilih berdasarkan jawapan paling tepat dan pantas, di mana mereka akan memenangi hadiah wang tunai yang disediakan oleh DBP Wilayah Selatan.

Kuiz Lentera Jawi bakal merangkumi beberapa skop atau tema antaranya Pengetahuan Am, Kata Serapan, Kata Majmuk, Hukum Konsonan-Vokal-Konsonan (KvK), Hukum Darlung, Homograf dan Ejaan Tradisi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

465
Kongsi :
Previous post MAIM SEDIA 6 PROGRAM KEMAHIRAN BANTU PERKASA ASNAF
Next post SILK ROAD PASSION: TERJEMAH PELAYARAN CHENG HO MENERUSI PERSPEKTIF SENI