Sorting by

×

PELUANG MILIKI RUMAH IDAMAN: MAPEX 2026 MELAKA TAWAR 3,118 UNIT HARTANAH SERENDAH RM70,000

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KESIDANG 10 April – Ekspo Hartanah Melaka (MAPEX) Melaka 2026 menjadi platform terbaik untuk orang ramai memiliki kediaman pada harga semasa di samping merancakkan semula pasaran hartanah negeri ini.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Melaka Datuk Ngoh Chun How berkata, pihaknya optimis penganjuran MAPEX kali ini mampu menjana jualan yang memberangsangkan meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran.

Menurutnya, MAPEX Melaka 2026 akan berlangsung selama enam hari bermula 28 April hingga 3 Mei 2026, dari jam 10 pagi hingga 10 malam dengan kemasukan adalah percuma kepada orang ramai.

“Ekspo ini menghimpunkan pelbagai projek pembangunan hartanah melibatkan rumah dalam pembinaan, siap dibina serta yang masih belum dimulakan.

“Harga hartanah yang ditawarkan bermula serendah RM70,000 sehingga RM3.79 juta, memberi pilihan kepada pelbagai lapisan pembeli termasuk pembeli rumah pertama dan pelabur.

“Pada masa sama, lebih 3,118 unit hartanah dengan nilai keseluruhan melebihi RM1.42 bilion ditawarkan sepanjang penganjuran MAPEX kali ini,” katanya pada Sidang Media dan Sesi Pengundian Lot (Booth) MAPEX Melaka 2026 di Pasar Raya MYDIN MITC di Pejabat REHDA Melaka, Taman Malim Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Penganjur MAPEX Melaka 2026 Datuk Sonny Tay Chor Han.

Daripada jumlah unit yang ditawarkan, beliau memaklumkan 1,484 daripadanya dibangunkan di daerah Melaka Tengah, diikuti 1,352 unit di Jasin, 204 unit di Alor Gajah dan 78 unit di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tambah Chun How, peluang ditawarkan kepada pembeli adalah signifikan berdasarkan pilihan hartanah yang pelbagai, di samping ini merupakan waktu terbaik untuk memiliki kediaman impian memandangkan nilai hartanah akan terus meningkat.

“Kita jangka MAPEX ini akan menjana jualan tinggi dan kita juga galakkan mereka yang sedang mencari rumah supaya datang ke MAPEX untuk lihat sendiri dan seterusnya membuat pembelian,” katanya.

MAPEX 2026 melibatkan sebanyak 21 pemaju swasta bersama agensi seperti Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang mengambil bahagian mempromosi 54 projek pembangunan di Melaka serta satu projek di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

506
Kongsi :
Previous post TARIAN ZAPIN MERIAHKAN RUMAH TERBUKA DUN BEMBAN
Next post WRUR ASAHAN: DEWAN TERBUKA ‘HADIAH’ 5 TAHUN PENANTIAN SMK SELANDAR