
UNIMEL DIYAKINI MAJIKAN DAN INDUSTRI, TERIMA PENARAFAN 6 BINTANG TALENTBANK
AYER KEROH 12 April – Universiti Islam Melaka terus melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan akademik, Graduate Employability Index serta anugerah berprestij pada Majlis Anugerah TalentBank 2026 yang berlangsung penuh gemilang di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.
Pengiktirafan itu melayakkan universiti penuh milik Kerajaan Negeri itu menerima penarafan 6 Bintang TalentBank.
Ia sekali gus membuktikan UNIMEL kini setanding dengan universiti terkemuka di Malaysia dalam aspek kebolehpasaran graduan serta menjadi institusi yang diyakini majikan dan industri.
Anugerah tersebut telah diterima oleh Naib Canselor UNIMEL Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly bersama barisan pengurusan tertinggi universiti sebagai simbol komitmen berterusan terhadap kecemerlangan akademik, jaringan strategik industri dan pembangunan graduan masa depan.
Empat bidang utama iaitu Pelancongan, Kaunseling, Undang-undang dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak turut menerima pengiktirafan atas keupayaan melahirkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran kerja semasa.
Berteraskan nilai H.E.R.O (Holistic, Enterprenerial, Responsible,Outstanding), UNIMEL terus unggul melahirkan graduan holistik, kompeten dan berdaya saing tinggi sebagai universiti pilihan masa kini dan masa hadapan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


