Sorting by

×

WRUR: 8 PROGRAM PERPADUAN WARNAI ALOR GAJAH: KAMPUNG KITA

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

GADEK 12 April – Usaha memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat terus dipergiat menerusi pelaksanaan lapan program komuniti oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Alor Gajah: Kampung Kita.

Ia membabitkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Asahan, Gadek dan Machap Jaya.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pendekatan turun padang yang dilaksanakan itu bukan sahaja merangkumi pelbagai aspek kemasyarakatan tetapi berperanan sebagai platform penting memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Dengan konsep baharu program WRUR ini di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) telah disediakan program seperti di WRUR DUN Asahan terdapat dua program manakala masing-masing tiga program bagi WRUR DUN Gadek dan WRUR DUN Machap Jaya.

“Program yang dibawakan ini dilihat mampu menyampaikan mesej perpaduan dengan lebih berkesan kepada golongan sasar kerana ia melibatkan masyarakat berbilang kaum serta pelbagai lapisan usia.

“Malah ia turut menekankan kepentingan penglibatan aktif pemimpin dan komuniti dalam mewujudkan suasana kemasyarakatan yang harmoni,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Jalinan Mesra Perpaduan @KRT : Sukan Jiran Muda Dan Sukan Rakyat Di Bendang bersempena program WRUR DUN Gadek, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam, di Kampung Gadek, di sini, hari ini.

Hee Sem yang juga Adun Machap Jaya berkata, penganjuran program itu membabitkan penyertaan menyeluruh jentera perpaduan antaranya Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS).

“Misalnya di DUN Gadek ini terdapat 11 KRT, tujuh SRS dan empat Tabika Perpaduan yang begitu komited memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan, keharmonian dan keselamatan masyarakat.

“Penganjuran program berbentuk sukan dan rekreasi seperti ini juga dilihat mampu menjadi medium terbaik dalam merapatkan hubungan antara penduduk setempat selain memupuk semangat kerjasama dan toleransi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

239
Kongsi :
Previous post GAGASAN MESRA KETUA MENTERI BERJAYA SATUKAN RAKYAT MELAKA
Next post TAM SPIDER, DATUK RAMLI SARIP GEGAR MASJID TANAH