Sorting by

×

SEDIAKAN LOT KUBUR SIAP DIGALI, LANCARKAN URUSAN PENGEBUMIAN JENAZAH UMAT ISLAM

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

TANJUNG BIDARA 12 April – Bagi menyegerakan urusan pengebumian jenazah umat Islam, semua tanah perkuburan di negeri ini tidak lama lagi akan melaksanakan konsep menyediakan 10 lot kubur yang sudah siap digali.

Mengumumkan perkara itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kawasan tanah perkuburan Islam.

Ketua Menteri berkata inisiatif itu bertujuan mengelakkan berlaku kesulitan jika penggali kubur bertugas berada di luar kawasan atau mempunyai urusan lain.

“Saya ambil keputusan supaya semua tanah perkuburan di Melaka melaksanakan inisiatif ini, namun secara berperingkat. Apabila dilaksanakan nanti tugas penggali kubur hanya lebih kepada menyiapkan liang lahad kerana lot kubur sudah sedia digali.

“Pentadbiran saya cakna terhadap segenap aspek rakyat bermula daripada kelahiran hingga kepada urusan pengebumian,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Meraikan Bakal Haji Dan Pesara Polis Dalam Parlimen Masjid Tanah yang diadakan di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz, Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan kemudahan awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer merangkap Adun Ayer Limau serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin merangkap Adun Taboh Naning.

Yang turut hadir Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah merangkap Adun Kuala Linggi serta Adun Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Ahmad Jefferi Abdullah, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar seramai 255 pesara polis dan 155 bakal jemaah haji yang diraikan.

Sementara itu beliau berkata, transformasi digital Melaka turut melibatkan pelaksanaan inisiatif kubur digital dengan projek rintis sudah dijalankan di Kampung Pulau.

Katanya, inisiatif kubur digital mampu mengatasi kesukaran waris untuk mencari pusara ahli keluarga mereka berikutan sistem pengurusan tradisional tidak sistematik yang diamalkan selama ini.

“Selepas ini kubur asal hingga akhir akan diberikan nombor, apabila ada waris yang datang menziarah mereka boleh menjadikan nombor ini sebagai rujukan terutama bagi kubur-kubur lama.

“Saya yakin ada dalam kalangan generasi sekarang yang tidak tahu lokasi pusara nenek moyang mereka, insya-Allah pendigitalan dilaksanakan mampu mengelakkan perkara ini. Warisan sejarah keluarga juga tidak akan terhakis atau tenggelam dihanyut zaman,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

290
Kongsi :
Previous post JKR MELAKA SIAPKAN 70 PROJEK CAKNA MADANI TAHUN INI
Next post WRUR: PENDUDUK GADEK PUJI USAHA PEMIMPIN TURUN PADANG SELESAI MASALAH RAKYAT