Sorting by

×

PAYUNG MELAKA SAYANG RAKYAT SEMAKIN DITERIMA RAMAI

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TANJUNG BIDARA 12 April – Kehadiran puluhan ribu masyarakat berbilang kaum dalam penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) di seluruh Negeri Melaka memberi satu petanda yang cukup positif kepada kepimpinan pada hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sambutan luar biasa itu menjadi indikator jelas bahawa payung MeSRa yang digagaskan itu dapat diterima setiap lapisan masyarakat di bumi bersejarah ini.

Ujarnya lagi, walaupun dunia berdepan konflik Asia Barat, namun Kerajaan Negeri berpendirian untuk meneruskan tradisi penganjuran rumah terbuka bagi menghargai rakyat Melaka, selain menerapkan semangat berkongsi rezeki.

“Di bawah payung Melaka Sayang Rakyat atau MeSRa ini kita meraikan rakyat Melaka untuk bersama-sama menyambung silaturahim dalam satu majlis rumah terbuka yang kita isikan dengan penuh keharmonian dan persaudaraan kaum.

“Di majlis inilah kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain meraikan satu titik persamaan dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh Ketua Menteri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman.

Dianggarkan lebih 30,000 masyarakat berbilang kaum hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri itu yang bermula pada jam 3.30 petang hingga 11.30 malam.

Sebanyak 80 gerai pelbagai juadah makanan disediakan kepada tetamu yang hadir antaranya nasi ayam gepuk, kambing golek, sate, apam balik, lemang, rendang dan bermacam-macam lagi.

Tidak hanya itu, pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada biduanita negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, selain turut dibawakan artis dari seberang Datuk Seri Rossa dan Cakra Khan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

421
Kongsi :
Previous post KERAJAAN BENTANG LANGKAH TANGANI KENAIKAN INPUT PERTANIAN SECARA MINGGUAN
Next post GAGASAN MESRA KETUA MENTERI BERJAYA SATUKAN RAKYAT MELAKA