Sorting by

×

ROSSA ANGGAP AURA MELAKA LUAR BIASA

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

TANJUNG BIDARA 13 April – Walaupun baru pertama kali membuat persembahan di Melaka, namun penyanyi popular dari seberang Datuk Seri Rossa menyifatkan aura bumi bersejarah ini sebagai luar biasa.

Malah, beliau juga menyifatkan ‘crowd’ di Melaka sebagai yang terbaik sepanjang siri jelajah persembahannya pada tahun ini.

“Melaka memang istimewa. Saya rasa bahagia dapat berjumpa masyarakat di Melaka dan bagi saya suasana membuat persembahan di sini adalah yang terbaik pada tahun ini,” katanya ketika membuat persembahan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh Ketua Menteri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Rossa mendendangkan 11 lagu bagi menghiburkan puluhan ribu tetamu yang hadir, antaranya Ayat-Ayat Cinta, Pudar, Ku Merindu, Hey Ladies, Hati Yang Kau Sakiti dan lain-lain lagi.

IMG 20260413 022656
ROSSA ketika ditemui pemberita selepas persembahan. Foto Afiq Mustaffa

Sementara itu, ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas persembahan, Rossa turut memuji keindahan Melaka yang disifatkan sebagai sebuah lokasi pelancongan terbaik yang wajib dilawati.

“Sebelum ini saya pernah singgah ke Melaka dan merasai makanan peranakan Baba Nyonya di sini dan pernah juga bergambar di lokasi menarik yang ada.

“Bila kembali ke sini lagi, saya terfikir adalah lebih baik jika saya dapat ke sini bersama anak-anak dan keluarga kerana Melaka adalah sebuah destinasi pelancongan yang indah dan mendamaikan.

“Sudah pasti saya akan kembali lagi ke sini kerana saya juga amat menggemari keenakan asam pedas dan durian Melaka,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

586
Kongsi :
Previous post ROSSA PUKAU ORANG MELAKA DI KAMPUNG PULAU
Next post KERAMAHAN ORANG MELAKA BIKIN CAKRA KHAN ‘JATUH CINTA’