
KERAMAHAN ORANG MELAKA BIKIN CAKRA KHAN ‘JATUH CINTA’
TANJUNG BIDARA 13 April – Dapat membuat persembahan sambil diiringi nyanyian latar puluhan ribu penonton yang sangat luar biasa disifatkan sebagai kenangan indah buat penyanyi popular dari seberang, Cakra Khan.
Beliau merupakan antara penghibur istimewa yang dibawakan khas pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh Ketua Menteri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, di sini, malam tadi.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Kekasih Bayangan dan Setelah Kau Tiada itu, keramahan dan sokongan padu rakyat Melaka sepanjang persembahan membuatkannya rasa bahagia dan tersentuh.
“Sebagai penyanyi, apabila mendapat ‘crowd’ yang sangat ‘supportive’ adalah sesuatu yang sangat membahagiakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas membuat persembahan.

Pada majlis itu, Cakra Khan seakan menghadiahkan konsert percuma buat rakyat Melaka dengan mendendangkan 10 buah lagu popularnya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai apa yang disukainya mengenai Melaka, Cakra Khan berkata, makanan dan tarikan pelancongan menarik menjadi antara identiti negeri ini yang membuatkannya terpukau.
Malah, beliau turut memuji keenakan asam pedas ikan yang disajikan kepadanya pada sambutan rumah terbuka itu dan mengakui keenakan rasanya membuatkannya makan bertambah.
“Selain makanan, saya juga amat menyukai Melaka kerana negeri ini tenang dan sangat indah. Saya pernah berkesempatan bergambar di Sungai Melaka dan ia membuatkan saya berasa seolah-olah berada di Venice, Itali.
“Pastinya saya akan datang lagi ke Melaka, tetapi selepas ini saya mahu datang untuk melancong kerana saya mahu menyaksikan keindahan Melaka pada waktu malam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


