Sorting by

×

MELAKA SASAR LEBIH 5,000 PROGRAM SEMARAK PERPADUAN SEPANJANG 2026

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

GADEK 13 April – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka menyasarkan lebih 5,000 program akan dilaksanakan menerusi peruntukan tahunan berjumlah RM300,000 diterima daripada Kerajaan Negeri.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, peruntukan disalurkan itu secara tidak langsung membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan perpaduan rakyat Melaka.

Beliau berkata, peruntukan tersebut juga amat signifikan dalam memastikan kelangsungan serta keberkesanan pelaksanaan program sepanjang tahun khususnya di peringkat Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

“Sepanjang tahun lalu JPNIN menyasarkan penganjuran kira-kira 3,000 program namun berjaya melaksanakan lebih 4,000 program di peringkat KRT, ini sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan.

“Manakala untuk tahun ini kita sasarkan untuk mengadakan lebih 5,000 program KRT dengan pelbagai pengisian yang menjurus kepada pengukuhan perpaduan masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Jalinan Mesra Perpaduan @KRT: Sukan Jiran Muda Dan Sukan Rakyat Di Bendang bersempena program WRUR DUN Gadek, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam, di Kampung Gadek, pada Ahad.

Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata, beberapa program berskala besar turut dijadualkan akan diadakan pada tahun ini antaranya Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Zon Selatan pada 8 hingga 10 Mei depan.

“Selain itu juga JPNIN Melaka turut merancang menganjurkan Majlis Konvokesyen Tabika dan Taska Perpaduan Peringkat Negeri Melaka buat julung kali pada tahun ini.

“Majlis sebelum ini hanya dijalankan di peringkat daerah sahaja dan dijangka akan membabitkan kira-kira 500 murid daripada 64 Tabika termasuk empat Taska Perpaduan seluruh Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

430
Kongsi :
Previous post 100 PESAKIT JANTUNG TERIMA MANFAAT KERJASAMA PUTRA-IJN
Next post SIMPOSIUM JULUNG KALI PHMK PERKENAL ‘ADVANCED TRAUMA TEAM’