
LINNAS: MAIM BUKA PINTU ASNAF JANA PENDAPATAN SENDIRI
PENGKALAN BATU 13 April – Program Latihan Insan Asnaf (LINNAS) yang disediakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menjadi antara inisiatif membantu golongan asnaf keluar daripada status penerima bantuan melalui peningkatan kemahiran dan penjanaan pendapatan sendiri.
Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, program tersebut menyediakan enam kursus kemahiran yang dilaksanakan di dua lokasi bagi memperkasa golongan asnaf.
“Tahun lalu, lima kursus ditawarkan, manakala tahun ini jumlah itu ditingkatkan kepada enam. Antara kursus yang disediakan ialah Kursus Lanjutan Jahitan, Kursus Lanjutan Masakan, Kursus Lanjutan Urutan, Kursus Lanjutan Kraftangan dan Gubahan, Kursus Lanjutan Solekan dan Andaman serta tambahan kursus baharu iaitu Teknologi Maklumat.
“Kursus akan diadakan di dua lokasi iaitu GIATMARA Tangga Batu dan Kolej Komuniti Jasin,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MAIM di Lobi Utama Pusat Islam Melaka, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Shaifulfazlee setiap kursus dihadkan kepada 15 peserta, di mana ia akan berlangsung selama satu hari pada hujung minggu bagi memudahkan penyertaan golongan asnaf tanpa mengganggu urusan harian mereka.
Jelas beliau, pada tahun lalu seramai 93 asnaf telah menyertai program tersebut dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM46,700.
“Meskipun belum ada peserta yang keluar sepenuhnya daripada status asnaf, sebahagian daripada mereka sudah mula menggunakan kemahiran dipelajari untuk menjana pendapatan.
“Kita yakin dalam tempoh terdekat akan ada asnaf yang berjaya keluar daripada kategori ini hasil usaha berterusan dan kemahiran yang diperoleh,” katanya.
Tambahnya, peserta turut menerima sijil penyertaan, namun penekanan utama adalah kepada penguasaan kemahiran serta amalan berterusan bagi memastikan manfaat itu dipraktikkan dalam tempoh jangka panjang.
Asnaf yang layak dan berminat boleh mendaftar melalui pautan atau kod QR yang disediakan pada poster oleh pihak MAIM.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


