Sorting by

×

DUA TAMAN PERUMAHAN DI GADEK KINI BEBAS MASALAH AIR

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

GADEK 13 April – Masalah gangguan bekalan air yang sebelum ini membelenggu penduduk di 800 penduduk dua taman perumahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek diselesaikan menerusi pembinaan sistem tangki simpanan dan tekanan air baharu oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam berkata, inisiatif memberikan kelegaan kepada penduduk Taman Baiduri di Pulau Sebang dan Taman Rakyat Kuala Ina yang sebelum ini kerap berdepan isu tekanan air rendah.

Menurutnya, projek itu membabitkan pembinaan beberapa tangki simpanan air yang berfungsi 24 jam bagi memastikan agihan bekalan lebih stabil kepada penduduk di dua penempatan berkenaan.

“Atas permintaan kita, SAMB telah membina tangki-tangki air yang berfungsi 24 jam dan membantu memastikan bekalan air sampai ke kawasan Taman Baiduri dan Taman Rakyat Kuala Ina,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Ziarah Kasih Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Gadek bersama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin di Pulau Sebang, Alor Gajah di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Adun Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Halyjah Muhammad.

Tambah beliau, konsep sistem tekanan baharu itu membantu menstabilkan bekalan air terutama pada waktu siang apabila penggunaan meningkat, manakala proses pengisian tangki berlaku pada waktu malam ketika tekanan air lebih tinggi.

“Waktu malam penggunaan rendah, tekanan tinggi jadi air disalurkan ke tangki. Pada waktu siang pam akan membantu menyalurkan semula air ke kawasan terlibat,” katanya.

Beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri berkata, pelaksanaan projek berkenaan dianggap sebagai penyelesaian jangka panjang kepada masalah bekalan air di kawasan hujung Melaka.

“Ini kawasan hujung Melaka, jadi bila kita faham konsep tekanan air, kita kena pastikan sistem sokongan seperti tangki ini berfungsi. Sekarang, masalah air di dua taman ini sudah selesai,” katanya.

Menurutnya, setakat ini tiada lagi aduan serius berkaitan gangguan bekalan air diterima daripada penduduk.

“Kita harap keadaan ini berterusan dan tidak lagi berlaku masalah besar, kecuali gangguan kecil seperti ketika hujan atau petir yang hanya seketika,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

554
Kongsi :
Previous post KAK SOM TURUN PADANG, ZIARAH 60 RUMAH SEPANJANG WRUR DUN GADEK
Next post SARINGAN KESIHATAN KOMUNITI PERLU DIMANFAATKAN PENDUDUK SETEMPAT