Sorting by

×

KAK SOM TURUN PADANG, ZIARAH 60 RUMAH SEPANJANG WRUR DUN GADEK

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

GADEK 13 April – Menyantuni rakyat kurang berkemampuan, asnaf dan individu menghidap masalah kesihatan kronik kekal sebagai agenda utama sepanjang berlangsungnya Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, mengikut perancangan beliau bersama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka akan singgah ke 60 kediaman sudah dikenal pasti menerusi Program Ziarah Kasih.

Katanya, amalan turun padang setiap kali penganjuran WRUR itu membuktikan Kerajaan Melaka amat prihatin terhadap nasib rakyat kurang bernasib baik dan selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

“Selain bertanya khabar, menyampaikan sumbangan kita turut memberikan sokongan moral dan berdasarkan maklum balas diterima kita akan menyalurkan bantuan mengikut keperluan atau kesesuaian penerima berkenaan. Ziarah ini melibatkan individu pelbagai lapisan usia termasuk orang muda sekitar 40-an namun diuji dengan masalah kesihatan kronik.

“Ini sangat menyentuh hati dan membuatkan kita lebih terpanggil untuk membantu,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Program Ziarah Kasih WRUR DUN Gadek di Pulau Sebang, Alor Gajah di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Adun Asahan; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen serta Pengarah JKM Melaka Halyjah Muhammad.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata antara bantuan yang disalurkan termasuk sumbangan bulanan RM500, pemberian tongkat serta katil khas untuk pesakit yang memerlukan.

“Bagi bantuan RM500 sebulan, ia bukan diberikan kepada semua 60 rumah yang akan kita santuni, sebaliknya dipilih berdasarkan kelayakan. Setakat ini, tiga rumah yang diziarahi semuanya layak menerima bantuan tersebut.

“Pendekatan turun padang melalui program WRUR memberi peluang kepada Kerajaan Negeri untuk melihat sendiri realiti kehidupan rakyat serta menyalurkan bantuan secara lebih berkesan. Program ini sangat baik kerana kita dapat berjumpa secara terus dengan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post LINNAS: MAIM BUKA PINTU ASNAF JANA PENDAPATAN SENDIRI
Next post DUA TAMAN PERUMAHAN DI GADEK KINI BEBAS MASALAH AIR