
SEKOLAH DI MELAKA DIBENAR HENTI AKTIVITI LUAR, TUTUP OPERASI JIKA SUHU TERLALU TINGGI
AYER KEROH 14 April – Pentadbir sekolah di negeri ini dibenarkan menghentikan sementara waktu semua aktiviti luar bilik darjah sekiranya suhu melebihi 35 darjah celsius untuk tiga hari berturut-turut dan menutup operasi jika bacaan meningkat kepada 37 darjah Celsius.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu adalah berdasarkan kepada garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Saya berharap semua pentadbir sekolah untuk menguruskan situasi (cuaca panas) mengikut garis panduan yang sudah ditetapkan, aktiviti luar adalah seperti kokurikulum termasuk pendidikan jasmani.
“Setakat ini di Melaka sesi persekolahan masih berjalan seperti biasa selain aktiviti luar dilakukan dengan pemantauan. Sementara itu ibu bapa dinasihatkan supaya memastikan anak-anak membawa bekalan air minum secukupnya sepanjang musim panas ini,” katanya. kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, media melaporkan pentadbir sekolah dan guru disaran lebih cakna terhadap perubahan cuaca semasa dengan penjadualan semula bagi aktiviti luar bilik darjah dibenarkan bagi mengelakkan murid terdedah kepada gelombang cuaca panas melampau.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan (KPM), Zainal Abas, berkata pihak sekolah diberikan autonomi untuk mengatur jadual pembelajaran bergantung kepada situasi cuaca panas di daerah masing-masing.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


