Sorting by

×

WRUR GADEK: MPAG ‘CERIAKAN’ RUMAH WARGA EMAS DERITA KANSER HATI

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

GADEK 14 April – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menterjemahkan keprihatinannya terhadap kesukaran ditempuh golongan sasar menerusi Program Masyarakat Di Hati MPAG 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek di Kampung Sri Tanjung, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam berkata, menerusi program tersebut MPAG telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan di kediaman Asenah Baba, 85, juga seorang asnaf kini diuji dengan masalah kanser hati.

Shanmugam yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri berkata, pemilihan kediaman asnaf itu adalah berdasarkan beberapa faktor yang antaranya adalah tersenarai sebagai penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Keputusan MPAG memilih rumah ini amat tepat kerana keadaannya yang sudah uzur memerlukan perhatian segera terutama daripada aspek keselamatan.

“Menerusi program ini MPAG melaksanakan kerja-kerja baik pulih, pendawaian semula sistem elektrik dan memasang lampu baharu bagi menjamin keselamatan Asenah, beliau kini agak uzur dan tinggal berdua bersama anak bongsunya,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Terdahulu beliau bersama Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim, Setiausaha MPAG Radzyma Mahat dan warga MPAG turun padang bagi bersama-sama bergotong-royong membersihkan kediaman Asenah.

Menurut Shanmugam, pada program tersebut MPAG turut menyampaikan bantuan kepada 11 lagi penerima dalam kalangan asnaf dan keluarga kurang berkemampuan sekitar DUN Gadek.

“Program Masyarakat Di Hati MPAG ini digerakkan dengan matlamat jelas iaitu memastikan bantuan sampai terus kepada golongan yang benar-benar memerlukan tanpa ada satu pun yang terpinggir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

562
Kongsi :
Previous post MAIM SALUR BANTUAN AIDILADHA, SOKONG PERSIAPAN JEMAAH HAJI
Next post MBMB AMBIL SERIUS DAKWAAN BECA ‘SCAM’