
KOMUNITI PANTAI PERINGGIT JADI CONTOH SEMANGAT KEMASYARAKATAN
PENGKALAN BATU 18 April – Pantai Peringgit muncul sebagai antara komuniti contoh di Melaka apabila penduduknya menunjukkan semangat kemasyarakatan yang tinggi melalui penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti setempat termasuk keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin berkata, pelaksanaan Program Dari Komuniti Untuk Komuniti: Komuniti Cakna Pantai Peringgit Sejahtera membuktikan keupayaan komuniti setempat untuk menjadi rakan strategik dalam pembangunan kawasan.
“Ini merupakan satu penanda aras yang baik dan boleh kita banggakan. Saya berharap komuniti ini terus mengekalkan amalan menjaga kebersihan serta memelihara hak bersama.
“Menerusi program ini juga kita dapat lihat peralatan kecemasan telah disediakan sekiranya berlaku banjir atau kecemasan lain. Ini merupakan satu pencapaian yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Program Dari Komuniti Untuk Komuniti: Komuniti Cakna, Pantai Peringgit Sejahtera di Rumah Pangsa Pantai Peringgit, di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; Pengarah Lembaga Perumahan Negeri Melaka, Datuk TPr. Murad Husin serta lain-lain kenamaan.
Kalsom yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri turut memuji komitmen tinggi komuniti Pantai Peringgit yang aktif dalam penganjuran pelbagai aktiviti bersama masyarakat.
“Komuniti di Pantai Peringgit ini sangat aktif. Mereka turut menubuhkan Kawasan Rukun Tertangga (KRT) dan menjalankan rondaan hampir setiap malam demi keselamatan penduduk.
“Selain itu, mereka juga mengadakan pelbagai aktiviti termasuk senam tari untuk para wanita serta program gotong-royong.
“Harapan saya agar komuniti di sini terus mengekalkan perkara-perkara baik ini dan menjaga keharmonian yang telah dibina,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


