Sorting by

×

WRUR BUKTI KECEKAPAN, ISU PEMILIKAN TANAH 30 TAHUN SELESAI DALAM MASA DUA MINGGU

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

MACHAP JAYA 22 April – Isu permohonan tanah tertunggak hampir 30 tahun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya akhirnya berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, dalam menyantuni rakyat di DUN Machap Jaya, Kerajaan Negeri mendapati isu membabitkan pemberian pemilikan tanah kepada pemohon tertinggal dan sekian lama tidak dapat diuruskan.

“Dengan adanya WRUR kita dapat selesaikan hal ini dalam tempoh dua minggu dan kali ini seramai 90 pemohon telah menerima notis 5A daripada Kerajaan Negeri.

“Ternyata hari ini bahawa urusan tertunggak selama 30 tahun dapat diselesaikan, ini adalah tanda keprihatinan dan rakyat dapat melihat bahawa sebuah kerajaan yang cekap boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) Sempena Program WRUR DUN Machap Jaya di Sekolah Kebangsaan Lesong Batu, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Ab Rauf berkata, kelulusan itu juga bertepatan dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) iaitu menyantuni dan mengutamakan penyelesaian masalah rakyat.

“Disebabkan itu program WRUR ini diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja yang begitu tersusun dan terancang supaya rakyat dapat melihat bahawa pentadbiran kerajaan ini lebih efisien dalam menyelesaikan segala urusan rakyat.

“Justeru itu saya menekankan bahawa setiap wakil rakyat perlu jadi rakyat dan tahu bagaimana kehendak rakyat dan bagaimana santuni rakyat seterusnya menyelesaikan segala isu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

262
Kongsi :
Previous post MELAKA LULUS 606 PTK DALAM TEMPOH 3 TAHUN
Next post JASIN SUDAH ADA PUSAT KITAR SEMULA PANDU LALU