Sorting by

×

TAHNIAH, MELAKA SEMAKIN DIYAKINI PELABUR – TYT

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SERI NEGERI 24 April – Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam merakamkan setinggi-tinggi tahnian kepada seluruh pasukan Kerajaan Negeri serta jabatan dan agensi berkaitan di atas kejayaan cemerlang dalam menarik kemasukan pelabur.

Beliau berkata, ia susulan kejayaan negeri ini merekodkan jumlah pelaburan yang amat memberangsangkan iaitu sebanyak RM14.68 bilion, melibatkan 312 projek yang diluluskan sepanjang tahun lalu.

Ujar beliau, lebih membanggakan, ia merupakan pencapaian tertinggi direkodkan sejak 22 tahun lalu.

“Kejayaan ini jelas mencerminkan bahawa Negeri Melaka semakin mendapat kepercayaan sebagai destinasi pelaburan strategik yang berdaya saing dengan menawarkan potensi ekonomi yang besar, infrastruktur yang baik serta ekosistem perniagaan yang kondusif dan mesra pelabur.
“Sehubungan itu, saya berharap agar usaha berterusan dapat dipergiatkan bagi menarik lebih banyak pelaburan baharu yang berkualiti dan berimpak tinggi, di samping terus menyantuni serta mengekalkan keyakinan pelabur sedia ada untuk kekal beroperasi di Negeri Melaka.

“Usaha ini diyakini mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka khususnya,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Tun Dr. Mohd Ali turut berkongsi kejayaan ekonomi Negeri Melaka yang berkembang pada kadar 4.4 peratus pada 2024, selain kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 turut mencatat rekod sebanyak RM48.9 bilion berbanding RM46.9 bilion tahun sebelumnya

Jelas beliau, sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang tertinggi ekonomi negeri iaitu sebanyak RM25.2 bilion atau 51.4 peratus, diikuti sektor pembuatan dengan RM17.6 bilion atau 35.9 peratus; sektor pertanian sebanyak RM4.7 bilion atau 9.5 peratus dan sektor pembinaan sebanyak RM1.4 bilion atau 2.8 peratus.

“Saya berharap ekonomi Melaka akan berkembang seiring dengan ekonomi Malaysia walaupun berhadapan dengan cabaran ketidaktentuan ekonomi global, khususnya yang berpunca daripada krisis di Asia Barat yang masih belum mencapai titik penyelesaian dan persefahaman,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

285
Kongsi :
Previous post PERKASA PELANCONGAN MELAKA DENGAN STRATEGI BAHARU
Next post MELAKA PERLU MILIKI ‘TOURIST AIRPORT’