
MELAKA PERLU UTAMAKAN SEKTOR PERTANIAN, PASTIKAN PENGELUARAN MAKANAN KONSISTEN
SERI NEGERI 24 April – Melaka perlu memberi keutamaan kepada sektor pertanian yang menjadi tunjang penting dalam menjamin keterjaminan makanan di negeri ini, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, sektor itu perlu diberi perhatian susulan konflik geopolitik dan perubahan iklim pada masa ini yang berpotensi memberi kesan kepada terhadap rantaian bekalan makanan, sekali gus meningkatkan kos sara hidup rakyat.
Oleh itu, beliau menyarankan agar pendekatan yang lebih proaktif dan bersepadu terus dilaksanakan bagi memastikan pengeluaran makanan dapat diteruskan secara konsisten.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga boleh melaksanakan inisiatif yang sesuai seperti dalam bentuk bantuan serta program latihan dan pemerkasaan kepada petani sedia ada dan petani baharu perlu dipergiat.
“Ia bagi menarik lebih ramai penglibatan dalam sektor pertanian dan memperkukuh daya tahan industri agro makanan negeri,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Tun Dr. Mohd Ali turut berharap kajian ‘Penglibatan Negeri Melaka Dalam Industri Makanan Dalam dan Luar Negara Menjelang 2030’ yang telah dilakukan Kerajaan Negeri bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 2022 dapat dimanfaatkan dan diguna pakai secara menyeluruh dalam perancangan pembangunan negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


