Sorting by

×

MELAKA CONTOH KESEIMBANGAN PEMBANGUNAN DAN WARISAN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 April – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan Melaka sebagai contoh terbaik sebagai bandar yang berjaya mengimbangi antara pembangunan moden dan pemeliharaan warisan sejarah.

Katanya, Melaka merupakan tuan rumah yang amat sesuai bagi Kongres Dunia Eastern Organisation for Planning and Human Settlements (EAROPH) Ke-30 2026 kerana sejarah panjangnya sebagai pusat perdagangan, budaya dan pentadbiran.

“Sebagai bandar bersejarah, negeri ini memberikan pengajaran penting bahawa pembangunan dan warisan bukanlah dua perkara bertentangan, sebaliknya boleh wujud bersama untuk memperkayakan bandar serta masyarakatnya,” katanya ketika berucap merasmikan EAROPH Ke-30 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib; Timbalan Gabenor Wilayah Jawa Timur, Indonesia Dr. Emil Elestianto Dardak dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Menurut beliau, bandar yang mampu bertahan adalah bandar yang berkembang secara terancang dengan mengekalkan identiti sambil menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

“Dalam hal ini, Melaka mencerminkan keseimbangan yang menjadi aspirasi banyak bandar masa kini,” katanya.

Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka di bawah pimpinan Ab Rauf serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) atas kejayaan menganjurkan kongres antarabangsa itu.

“Komitmen ini mencerminkan peranan Melaka bukan sahaja sebagai bandar bersejarah, tetapi juga sebagai pusat bandar yang berpandangan jauh dan aktif di peringkat global,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

250
Kongsi :
Previous post TUN DR. MOHD ALI SERU PENIAGA TIDAK AMBIL KESEMPATAN
Next post PERLUAS AKSES KESIHATAN LUAR BANDAR, PERKASA PENCEGAHAN PENYAKIT