
WARGA MPHTJ PERKUKUH BUDAYA KERJA BERPRESTASI TINGGI
AYER KEROH 26 Mei – Warga Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) diminta agar terus memperkukuhkan budaya kerja cemerlang, profesionalisme dan integriti, sekali gus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, masyarakat kini menaruh harapan tinggi terhadap perkhidmatan awam yang pantas, mesra dan berkualiti.
“Kita perlu memperkasakan budaya kerja berprestasi tinggi, meningkatkan komunikasi antara jabatan serta sentiasa bersedia menerima perubahan serta melaksanakan penambahbaikan demi kemajuan organisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ Bulan Mei 2026 di Pentas Melaka Mall di sini, pada Jumaat.
Hadir sama Setiausaha MPHTJ Mohd Faizal Mohd Zin; Ketua Ahli Majlis MPHTJ Clr. Wan Mohammed Fairus Wan Abdullah dan kakitangan MPHTJ.
Menurut Sapiah aspek kebersihan, kesejahteraan bandar, pembangunan mampan dan penglibatan komuniti juga perlu diberi perhatian berterusan.
“Peranan kita sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bukan sahaja sebagai penjawat awam, tetapi juga pemudah cara kepada kesejahteraan masyarakat di kawasan pentadbiran Hang Tuah Jaya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

