Sorting by

×

BELUM PUTUS ASA PERJUANG PASAR AWAM MACHAP

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

MACHAP JAYA 26 Mei – Pembinaan sebuah pasar awam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya akan terus diusahakan Datuk Ngwe Hee Sem bagi memudahkan rakyat di kawasan itu membeli pelbagai barangan keperluan harian tanpa perlu ke lokasi lebih jauh.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya itu, pasar awam tersebut merupakan antara aku janji yang dibawanya namun masih belum dapat direalisasikan.

Jelas beliau, sebelum ini pembinaan pasar awam itu telah dibawa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) ke peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), namun ia belum diluluskan kerana fokus kementeriaan pada masa ini adalah baik pulih pasar sedia ada dan bukannya pembinaan baharu.

“Setiap tahun, KPKT mempunyai fokus yang berbeza-beza, di mana ada tahun ia memberi tumpuan kepada tandas awam dan tahun seterusnya berbeza. Jadi, kita harap perancangan pasar awam ini akan mendapat perhatian di masa akan datang.

“Apapun, saya akan terus berjuang untuk pembinaan pasar awam ini demi kemudahan dan kesejahteraan warga Machap Jaya,” katanya kepada Melaka Hari Ini dalam wawancara khas sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Machap Jaya.

Jelas Hee Sem, tapak bagi pembinaan pasar awam itu telah ada iaitu di sebuah kawasan lapang berhampiran Taman Machap Bestari, Machap Baru.

“Mengikut perancangan, ia bukanlah sebuah pasar awam yang besar, tetapi saya percaya jika ia direalisasikan, pasar ini akan memberi manfaat kepada penduduk Machap Jaya,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

139
Kongsi :
Previous post CUTI SEKOLAH: MACAM-MACAM PROGRAM MENARIK ADA DI MUZIUM MELAKA