
GILAP POTENSI ORANG ASLI MACHAP JAYA
MACHAP JAYA 27 Mei – Menggilap potensi masyarakat Orang Asli Machap Jaya menjadi antara misi utama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem.
Beliau berkata, usaha itu penting untuk digerakkan memandangkan komuniti di kawasan tersebut masih belum diserlahkan kelebihan mereka, terutama dalam kalangan generasi muda.
Untuk itu, beliau berharap Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan dan Melaka dapat menjadi lebih proaktif dalam menganjurkan pelbagai latihan dan kursus jangka pendek bagi membantu masyarakat ini terus berkembang.
“Latihan dan kursus pendek terutama berkaitan kemahiran antara yang mahu saya titik beratkan dalam membantu Orang Asli di kawasan ini lebih maju dan berdaya saing.
“Pada masa sama, kita juga berharap kerajaan dapat meningkatkan peruntukan kepada Melaka dalam aspek kebajikan Orang Asli terutama membantu mereka mendiami kediaman lebih selesa,” katanya kepada Melaka Hari Ini dalam wawancara khas sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Machap Jaya.
Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, selain latihan, aspek pendidikan masyarakat Orang Asli juga akan terus diberi perhatian.
“Ini penting kerana kita tidak mahu ada di antara anak-anak Orang Asli ini tercicir dalam pelajaran,” tambahnya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

