Sorting by

×

CUTI SEKOLAH: MACAM-MACAM PROGRAM MENARIK ADA DI MUZIUM MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 26 Mei – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menawarkan pelbagai promosi tiket, program interaktif dan aktiviti berunsur warisan budaya sempena musim cuti sekolah bagi menarik lebih ramai pengunjung ke muzium di negeri ini.

Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, antara tarikan utama ialah Persembahan Seni Silat Gayong Panji Alam Malaysia serta aktiviti permainan tradisional di Muzium Hang Tuah Perkampungan Hang Tuah, Duyong bermula 24 Mei hingga 7 Jun 2026.

“Program ini memberi peluang kepada pengunjung khususnya kanak-kanak dan golongan muda mengenali seni budaya Melayu secara lebih dekat melalui pendekatan santai dan interaktif.

“Selain persembahan seni silat, pengunjung juga boleh menyertai pelbagai permainan tradisional yang penuh dengan elemen warisan dan budaya Melayu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Jelasnya, PERZIM turut menganjurkan Program Santai Cuti Sekolah: Konservator Cilik yang membuka peluang kepada kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun mempelajari teknik penjagaan dan pemuliharaan artifak muzium.

WhatsApp Image 2026 05 26 at 10.56.59 AM

Katanya, program berkenaan akan berlangsung pada 30 atau 31 Mei 2026 di Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dengan yuran penyertaan RM5 seorang.

“Bukan semua orang boleh menyentuh artifak muzium, tetapi melalui program ini peserta dapat merasai sendiri pengalaman berada dalam ‘makmal’ muzium dan mempelajari teknik konservasi artifak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PERZIM turut menawarkan inisiatif kemasukan percuma sempena Sambutan Hari Jururawat 2026 dan Hari Guru 2026 di beberapa lokasi pelancongan terpilih.

“Menerusi Skim MeSRa Pelancongan di bawah Bajet Negeri Melaka 2026, jururawat hospital kerajaan di Melaka boleh menikmati tiket masuk percuma ke lokasi terpilih seperti Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dan Muzium Hang Tuah Centre bermula 12 Mei hingga 13 Jun depan.

“Manakala bagi pasangan serta anak-anak mereka turut menerima diskaun sebanyak 50 peratus,” katanya.

6337013826666481158
MUZIUM Hang Tuah menawarkan pelbagai aktiviti interaktif untuk pengunjung. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Mengulas promosi digital pula, beliau berkata PERZIM aktif menggunakan platform media sosial khususnya TikTok bagi mendekati generasi muda dan mempromosikan produk pelancongan sejarah serta budaya Melaka.

“Selain TikTok rasmi MelakaMuseum, muzium utama lain seperti Muzium Sejarah dan Etnografi serta Muzium Istana Kesultanan Melaka turut aktif menghasilkan kandungan kreatif berkaitan muzium.

“Pendekatan ini secara tidak langsung menggalakkan kakitangan muzium lebih kreatif dalam menyampaikan maklumat dan perkongsian berkaitan sejarah serta warisan kepada masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

142
Kongsi :
Previous post AIDILADHA: MAIM TUMBANG DUA LEMBU KORBAN UNTUK ORANG ASLI